Artis Korea tidak selesa disorot ‘green flag’

DALAM dunia hiburan Korea Selatan, segelintir artis dilabel sebagai manusia berhati malaikat dengan pakej lembut tutur kata, indah perilaku dan tenang wajahnya. 

Hakikat di balik pancaran aura kebaikan itu, tersembunyi sisi manusiawi yang jujur dan rapuh. 

Mereka manusia biasa yang punya rasa marah, kecewa, bahkan memberontak apabila dunia meletakkan tanggapan terlalu tinggi dan berharap mereka kekal sempurna. 

Populariti pasti datang bersama beban, segala tindak-tanduk diperhati, setiap kata dinilai. 

Di sinilah muncul dilema antara mengekalkan citra green flag atau mengakui bahawa mereka juga insan biasa yang tidak terlepas melakukan kesilapan. 

Kimchi Panas minggu ini membongkar sisi jujur empat bintang Korea Selatan yang sering dianggap berhati mulia tetapi berani mengakui kelemahan dan lelah memikul beban dan harapan peminat yang memuja mereka. 

  • Im Si-wan

Pelakon dan penyanyi Im Si-wan sering dilabel sebagai lelaki sopan, berakhlak dan terlalu baik hati. 

Senyumannya yang lembut serta perilaku teratur membuatkan ramai menganggapnya insan sempurna tanpa cacat cela.

Namun, dalam satu wawancara pada 2017, lelaki berusia 36 tahun itu secara jujur menjelaskan imej itu terbentuk hasil pandangan media dan peminat. 

Selebriti tampan itu mengakui citra ‘jejaka green flag’ itu sebenarnya memberi banyak kelebihan, termasuk kepercayaan orang sekeliling, namun di sebalik keuntungan tersebut, dia rasa terbeban. 

Menurutnya, dia hanya berusaha untuk tidak merosakkan reputasi yang telah terbina bukan kerana ingin berpura-pura baik, tetapi mahu kekal profesional dalam setiap langkah kariernya.

  • Park Shin-hye

Siapa tidak kenal figura Park Shin-hye, heroin kesayangan penonton Korea dan Asia. 

Dalam setiap drama, wajahnya menjadi simbol kelembutan dan kebaikan hati, namun di sebalik perwatakan itu, tersimpan kejujuran seorang wanita yang tidak selalu kuat.

Menerusi satu semu bual, aktres berusia 35 tahun itu mendedahkan, imej baik hati itu terbentuk kerana karakter lakonannya yang sering lembut dan sabar. 

Hanya manusia biasa, wanita jelita itu menegaskan bahawa dirinya bukan mesin yang sentiasa positif. 

“Saya manusia. Ada hari saya bersemangat, ada hari saya cuma mahu berdiam,” ujarnya.

Pun begitu, Shin-hye tidak menolak imej tersebut, malah mensyukurinya. 

Baginya, label baik hati satu penghargaan dan harus lebih berhati-hati agar tidak mencalarkan persepsi umum.

  • Nickhun

Anggota kumpulan 2PM, Nichkhun sering digelar ‘budak baik’ dalam industri K-Pop. Sikapnya yang sopan dan tutur kata lembut membuat ramai terpesona. 

 Dibebani ekspektasi tinggi, lelaki kacukan Thailand-Amerika itu mengakui penat mengekalkan imej sedemikian.

Menerusi satu wawancara, idola berusia 37 tahun itu meluahkan rasa bosan apabila dunia menganggapnya insan sempurna.

Ujar Nichkhun, dia cuma ingin hidup dengan lebih tulus dan enggan dianggap terlalu baik serta sempurna.

Nichkhun kini kian matang mengemudi karier dan kehidupan peribadi, membuktikan bahawa menjadi baik tidak bermakna harus menafikan sisi manusiawi diri.

  • Kang Ha-neul

Pelakon Kang Ha-neul dikenali dengan sikap positif dan tutur lembut namun lelaki berjiwa seni ini pernah menegaskan dirinya tidaklah sebaik yang disangka. 

Menerusi sebuah rancangan variety show, dia mengakui dirinya hanya manusia biasa yang punya 1,001 perasaan, namun memilih untuk mengawal semua itu sebaiknya.

Kata jejaka berusia 35 tahun itu, dia jarang meluahkan amarah kerana lebih gemar memahami sudut pandang orang lain. Namun, apa yang dipraktik itu sering disalah tafsir sebagai hipokrit. 

Tekanan untuk kekal tenang membuat bintang drama Red Swan itu mula berlapang dada bahawa tidak semua orang memahami niatnya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok