‘Tak mungkin dapat lihat saya berlari lagi…’

FILEM Irudhi Strike menjadi filem terakhir pelawak veteran, Sathiya kelihatan sempurna di layar perak sebelum kaki kirinya dipotong pada September lalu akibat penyakit kencing manis.

Menurut Sathiya atau nama sebenarnya, Sathia Periasamy, 61, filem Irudhi Strike cukup bermakna kerana peminat masih boleh melihat dia berlakon dalam keadaan sempurna.

“Penggambaran filem ini dilakukan pada tahun lepas, waktu itu saya masih sihat dan kaki kiri masih ada. Kiranya ini filem terakhir, saya berlakon sebagai Sathiya yang sempurna.

Sekarang, kaki kiri saya sudah tiada, jadi tawaran lakonan yang datang mungkin agak berbeza. Selepas ini penonton mungkin tidak lagi dapat melihat saya berlari dan beraksi seperti dahulu,” katanya.

Selepas empat dekad berkecimpung dalam bidang seni dan berlakon dalam puluhan filem, Irudhi Strike menjadi karya pertama yang mengangkatkan beliau sebagai hero.

Bimbang tidak dapat berlakon dengan baik, Sathiya sempat menolak tawaran untuk membintangi filem ini sebelum diyakinkan pengarahnya, T. Danesh Kumar.

“Saya pelawak dan berlakon semua dalam karya komedi, ini kali pertama saya diberi watak yang bukan komedi. Saya perlu serius dan juga menangis.

Saya takut saya tidak boleh buat, sebab itu saya tolak pada mulanya. Pengarah banyak membantu dan dalam filem ini penonton akan melihat sisi berbeza Sathiya. Langsung tidak buat lawak, 100 peratus watak yang serius.

“Filem ini adalah wajah satu Malaysia kerana dilakonkan oleh pelakon daripada pelbagai kaum. Jadi, saya harap semua orang boleh datang menonton di pawagam kerana filem ini sangat menarik ,” ujarnya.

Selain Sathiya, filem Irudhi Strike yang menemui penonton di pawagam bermula 30 Oktober (semalam) turut dibintangi Irfan Zaini, Ravin Rao Santheran, Jibrail Rajhula, Affie Rania, Komalaa Naaidu, Alvin Martin dan Saresh D7.

Karya dwi bahasa, Tamil dan Melayu tersebut mengisahkan seorang bekas pemain bola sepak, Coach Senbagamaran (Sathiya) melatih sekumpulan anak muda di sebuah perkampungan sebagai satu pasukan bola sepak untuk mengajar disiplin dan memberi harapan masa depan.

Namun, mereka diganggu sindiket yang mengeksplotasi golongan muda untuk keuntungan dan mengheret mereka ke kancah rasuah. Kini, Coach dan pasukan bola sepak itu terpaksa berjuang di mahkamah untuk masa depan kampung mereka.

Ligat berlakon

Bercakap tentang kaki yang dipotong, Sathiya berharap dapat menjalani kehidupan seperti biasa menggunakan kaki palsu kelak.

Kaki palsu sudah ditempah, ramai rakan industri membantu bukan sahaja dari segi kewangan tetapi masih ramai yang memberi saya ‘job’ lakonan.

“Kata mereka, tiada kaki bukan satu masalah sebab dalam kamera mereka hanya mahu muka dan badan saya sahaja,” beritahu Sathiya.

Dalam pada itu, Sathiya turut berkongsi mengenai sambutan perayaan Deepavali baru-baru ini.

Tahun ini, Deepavalinya paling meriah meskipun kaki kirinya telah dipotong.

Semua orang tahu kaki saya dipotong, jadi saya hanya duduk di rumah dan semua orang datang ke rumah saya.

“Bayangkan dari pagi sehingga malam, tiga hari berturut- turut, rumah saya penuh dengan orang. Saya bersyukur dengan keprihatinan dan kasih sayang yang diberi pada saya,” luah Sathiya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok