‘Semua orang ikut dia kacau, hari-hari intai akaun saya’

TERLALU  merimaskan, pelakon Ira Kazar memohon bantuan orang ramai agar melaporkan satu akaun palsu dalam media sosial yang didakwa kerap mengganggu privasi dirinya serta rakan terdekat.

Ujar Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 30, individu terbabit tidak pernah berhenti mencipta akaun baharu setiap kali disekat, selain berani menyebarkan nombor telefon pengurusnya kepada pihak luar.

“Minta jasa baik semua tolong lapor akaun itu. Saya sudah sekat merata, tetapi dia tetap buat akaun baharu.

“Semua orang yang saya ikut dia kacau. Nombor telefon pengurus saya pun dia sebar merata. Hari-hari dia intai akaun saya, lepas itu dia block (sekat) balik,” katanya dalam Instagram Story.

Lebih membimbangkan, individu berkenaan turut menyebarkan dakwaan tidak benar termasuk unsur tahyul, selain menjadikan sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan Ira sebagai sasaran.

“Tidak habis-habis cerita Thailand, jin, sihir. Lama-lama memang menyampah sebab setiap hari ada kawan beritahu kena tag atau mention dengan dia.

“Dah banyak kali saya report sampai rasa malas nak kira,” luahnya.

Tambah anak kepada pelakon senior Kazar Saisi itu, gangguan itu kini melarat kepada mana-mana individu yang muncul dalam Instagram Story miliknya.

“TikTok dia saya tak jumpa sebab dia dah block saya. Tolong semua, report ramai-ramai sampai akaun itu digantung.

“Penat dengar kawan-kawan beritahu fasal dia setiap hari. Bukan setakat orang saya ikut saja dia kacau, sesiapa pun dalam Insta Story saya, semua dia pergi serang,” kongsinya.

Rata-rata netizen bersimpati serta menyokong tindakan Ira yang mahu isu tersebut ditangani segera. — HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok