Sejujurnya, saya sendiri tak sangka akan bercerai – Rebecca

PELAKON dan usahawan Rebecca Nur Al Islam mengakui tidak menyangka rumah tangga yang dibina selama 14 tahun dengan bekas suami, Datuk Norazam Datuk Haji Sulaiman akhirnya bernoktah dengan perceraian.

Menurut Rebecca atau nama lengkapnya Rebecca Nur Al Islam Ahmad, 39, dia dan Norazam yang bercerai pada awal Mei lalu atas sebab yang tidak dapat dikongsikan.

“Sejujurnya saya sendiri pun tak sangka perkahwinan saya yang dibina sekian lama akhirnya sampai di sini sahaja. Mungkin jodoh kami setakat ini sahaja.

“Saya rasa tak perlu untuk saya kongsikan punca perpisahan kami kerana akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Selagi kita boleh tutup aib, kita tutuplah.

“Pada saya hidup kita sangat singkat. Saya telah lakukan segalanya jadi saya hanya ikut apa yang sudah tertulis oleh Allah SWT untuk saya. Saya terima sahaja walau saya sendiri rasa macam tak sangka,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi terbaharu Amber X Nora Danish, di sini, semalam.

Ditanya adakah kehadiran orang ketiga menjadi punca perceraiannya dengan bekas suami, kata bekas finalis Dewi Remaja 2006 itu dia tiada sebarang komen untuk persoalan terbabit.

Tambahnya lagi, dia mengambil masa untuk kuatkan diri selepas diduga dengan episod keretakan rumah tangga yang dibina selama 14 tahun.

“Sejujurnya saya sedang ‘down’. Ini pun saya baru mula keluar rumah jumpa orang. Saya banyak mendekatkan diri dengan perkara yang mengingatkan saya tentang akhirat.

“Tetapi kadang-kadang bila saya fikir balik, adakah saya ni dah nak mati? Jadi saya rasa kenapa tidak saya keluar dan bertemu dengan orang. Dan majlis hari ini (semalam) adalah yang kedua saya pergi selepas majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman baru-baru ini.

“Saya sedar saya kena bangun dan cari balik semangat saya untuk saya teruskan kehidupan dan mencari rezeki demi tujuh orang anak saya. Saya kena kuat untuk mereka,” kongsinya.

Lama meninggalkan dunia lakonan kerana memberi fokus kepada keluarga, kata Rebecca, dia sedia untuk kembali berlakon tetapi harus memilih watak yang sesuai.

“Saya mungkin akan ‘demand’ tetapi bukan harga. Saya akan ‘demand’ tentang watak dan lokasi penggambaran.

“Saya tidak mahu tinggalkan anak-anak terlalu lama jalani penggambaran di lokasi yang jauh. Kehidupan saya kini sudah berubah sepenuhnya selepas bercerai,” ujarnya.

Untuk rekod Rebecca dan bekas suami berkahwin pada 14 Januari 2011. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam orang anak iaitu Nor Anggun Raverra, 13, Nor Anggerik Renesmee, 12, Nor Aliff Al-Raffael, 9, Nor Ahmed Al-Reaggan, 6, Nor Aurora Riana, 6 dan Ammar Rizky, 2.

Rebecca juga mempunyai seorang anak angkat iaitu Nor Adam Daniel. – HIBGLAM

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok