PELAKON popular Nora Danish enggan terlalu bercerita tentang temannya yang dikenali sebagai Mickey Ayo kerana tidak mahu ada pihak yang tersinggung.
Menurut Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, dia risau terlalu terbuka berkongsi tentang kisah peribadi sekiranya pengakhirannya nanti tidak seperti yang diharapkan ramai.
“Kalau boleh saya nak jaga privasi saya dan dia (Mickey). Dia pun terkejut bila kopiah putih menjadi viral. Kasihan dia.
“Saya sebenarnya gemuruh, tak mahu kisah ini membuatkan ada pihak yang tersinggung,” katanya ketika pada majlis pelancaran koleksi Amber X Nora Danish, di sini, semalam.
Ditanya siapa pihak yang mungkin akan tersinggung dengan kisah peribadinya, kata Nora dia tidak tahu, tetapi boleh jadi sesiapa sahaja.
Peminat saya kan ramai. Mungkin ada yang akan tersinggung,” jelasnya.
Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk kembali berumah tangga, kata pelakon yang popular menerusi sitkom Puteri itu, dia tidak pernah menutup pintu hatinya untuk lelaki.
“Saya tidak pernah terfikir untuk rasa menyesal dalam percintaan. Perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan untuk kita belajar menjadi lebih baik. Kalau saya gagal kali pertama, gagal kali kedua saya tak rasa macam kehidupan saya sudah berakhir dan berhenti mempercayai lelaki.
Saya sentiasa percaya Allah akan hadirkan insan yang lebih baik dan menjadikan saya insan yang lebih baik. Sudah tentu saya inginkan perkahwinan kerana saya nak bersama pasangan saya mengejar syurga. Kan best kalau ada pasangan. Kalau seorang penat juga,” kongsinya.
Menyifatkan Mickey sebagai seorang yang menghiburkan dan sering membuat dirinya tertawa, Nora mengakui bahawa lelaki Itu merupakan lelaki yang sedang rapat dengannya ketika ini.
“Saya serahkan segalanya kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan. Kalau Allah permudahkan maknanya dialah orangnya. Insya-Allah,” jelasnya.
Bercerita tentang kolaborasinya bersama Amber, Nora bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjadi wajah kepada koleksi terbaharu yang diberi nama Mirage.
“Ada 10 rekaan semuanya dengan harga yang sangat berpatutan dan boleh dipakai oleh wanita berhijab mahupun yang tidak berhijab. Sesuai untuk digayakan ke pelbagai acara,” katanya. – HIBGLAM
 
			        
 
			         
												