Kalau betul saya buat benda tu, dah lama jadi jutawan – Faez Malek

DITUDUH sanggup tidur dengan pengarah semata-mata untuk meraih tawaran lakonan, pelakon Faez Malek tampil menepis dakwaan tersebut yang disifatkan melampau dan tidak berasas.

Ujar Faez atau nama sebenar Mohammad Faiz Abdul Malek, 36, tuduhan itu ibarat cerita kartun yang tidak berlandas logik dan fitnah liar untuk menjatuhkan maruah serta usaha seninya.

“Kalau betul saya buat benda tu demi nak kerja, rasanya saya dah jadi jutawan lama dah.

“Drama pun tentu keluar berturut-turut di televisyen, pengikut media sosial saya pun mesti dah meletup. Sudah terkenal satu Malaysia.

“Kalau betul saya pilih jalan macam tu, tak payahlah saya bersusah payah buktikan bakat. Ini sebaliknya, saya kena berusaha lebih daripada orang lain,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon Banglo Seksyen 12 itu, tuduhan tersebut juga bertentangan dengan prinsip hidupnya yang berpasak teguh pada pegangan agama.

“Saya anggap tuduhan ni gurauan melampau. Benda macam tu tidak benar, tak logik langsung.

“Sebagai Muslim, saya tahu batas. Saya tak sanggup gadaikan maruah semata-mata nak kerja.

“Saya yakin kalau berusaha, kalau saya bagus, insya-Allah rezeki ada. Bila dan di mana, itu kerja Tuhan. Tugas saya, usaha, cari peluang, dan buat terbaik,” ujarnya pada sidang media Sulalatus Salatin, di sini, kelmarin.

Paling penting kata Faez, andai benar dia memilih jalan songsang untuk mengejar nama, tentu dia sudah lama menggali peluang di luar negara.

“Kalau saya jenis tak fikir maruah, baik saya pindah Hollywood terus.

“Dekat sana boleh buat apa saja tanpa batas. Tak payah duduk Malaysia,,” luahnya.

Terdahulu, kecoh dalam media sosial apabila tular dakwaan mengenai seorang pelakon lelaki ‘sendu’ berlatarbelakangkan dunia teater sanggup tidur dengan pengarah demi mendapatkan peluang berlakon.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak ramai netizen mengaitkan Faez memandangkan dia kerap muncul dalam pementasan teater. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok