LEBIH setahun menggalas status duda, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz belum terfikir untuk mencari pengganti bekas isteri, Bella Astillah.
Aliff atau nama lengkapnya Mohammad Aliff Aziz, 34, berkata, dalam fasa bersendirian ini dia dapat memberikan fokus terhadap diri sendiri serta insan penting di sekelilingnya.
“Kalau nak tanya saya dah jumpa pengganti atau tidak, jawapannya tentu sahaja belum.
“Tapi apa yang boleh saya katakan, sekarang saya berada dalam satu fasa yang membahagiakan. Rasa gembira dan ingin terus memperbaiki diri.
“Saya mahu menjadi insan lebih baik dalam lingkungan yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Havoc Trio Fest 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Akuinya lagi, dia enggan terlampau terbuka menyentuh hal soal peribadi kerana bimbang setiap kenyataan akan disalah tafsir.
Bahkan bagi selebriti sensasi asal Singapura itu lagi, hal cinta bukan sesuatu yang menarik untuk diperkatakan kepada khalayak.
“Saya rasa soalan tu pun tak perlu dijawab panjang. Ramai di luar sana pun mungkin rasa benda ini bukan sesuatu yang penting untuk tahu.
“Saya jawab sebab kawan-kawan media bertanya, tapi pada masa sama saya tak nak menjawab benda yang akhirnya akan jadi buah cakap yang tak perlu.
“Ramai orang di luar sana mungkin akan kata macam ‘siapa nak ambil tahu pun?’. Tak mengapa,” ujarnya.
Sebelum ini Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan Bella Astillah pada 9 September 2016 bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Mereka yang dikurniakan dua cahaya mata bercerai kali pertama pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula ketika dalam tempoh idah.
Terdahulu, namanya terpalit kontroversi selepas dilaporkan di ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sebuah kondominium di ibu negara dengan aktres Ruhainies pada 9 Mac 2024. – HIBGLAM
 
			        
 
			         
												