‘Baru lima bulan, tak sangka ada kelab peminat’

KEMUNCULAN kumpulan Alpha dalam industri muzik tanah air seperti mengembalikan trend ‘boys group’ yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu.

Baru empat bulan mewarnai dunia seni tempatan, mereka pernah dikecam hebat pada awal kemunculan mereka tetapi kini menjadi kegilaan generasi muda hari ini.

Alpha yang dianggotai Araff Mohamed, Afiq Sky, Daniel Sher, Ray-D, Ariel Fesol, Rizal Rasid dan Izat itu bersyukur kerana kehadiran mereka menerima respons positif sehingga berjaya membentuk kelompok peminat tersendiri.

Dalam masa sama, mereka tidak menafikan kehadiran Alpha menyemarakkan semula industri seni tanah air terutama penyanyi berkumpulan lelaki yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu.

Menurut Ariel yang juga juara Big Stage Alpha, Alpha dilihat sebagai menggerakkan semula fenomena tersebut, namun tetap enggan meletakkan sebarang tekanan atau jangkaan tinggi daripada peminat.

“Benar, Malaysia pernah dibanjiri dengan kumpulan lelaki dan wanita sekitar tahun 1990-an kemudian semua menyepi.

Sekarang, mungkin giliran kami dan ini sebagai permulaan kepada era baharu ‘boyband’ tempatan.

“Alpha baru berusia lima bulan tetapi sambutan yang diterima sangat mengejutkan, tak sangka ada kelab peminat sendiri juga,” katanya kepada HibGlam.

Enggan dilihat memonopoli suasana semasa, Ariel terbuka sekiranya lebih banyak kumpulan muncul selepas ini selain mahu menjadikannya sebagai persaingan sihat.

“Kalau ada kumpulan lain yang muncul selepas ini, kami sangat terbuka.

Daripada situ, kita semua boleh belajar antara satu sama lain.

“Kami ingin membawa nama Malaysia lebih jauh dan peluang ke Korea Selatan akan menjadi langkah pertama dan terbesar buat Alpha,” ujarnya.

Bercerita tentang Korea, beberapa ahli kumpulan Alpha bakal menjalani latihan intensif secara profesional termasuk nyanyian dan tarian sekitar awal November depan.

Latihan yang akan dikendalikan oleh jurulatih profesional bakal memberi pendedahan, terutama dalam memantapkan persembahan dan memperkukuh kemahiran vokal mereka.

“Kami berasa sangat bertuah kerana Alpha lahir dalam era yang berpeluang melebarkan karier di persada antarabangsa.

“Mungkin dahulu kumpulan atau penyanyi tempatan sukar untuk mendapatkan peluang seperti latihan di luar negara, tetapi kini semuanya lebih terbuka.

“Insya-Allah tidak akan sesekali mensia-siakannya dan mahu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan tak akan mensia-siakan,” katanya lagi.

Momentum

Lima bulan sejak lahirnya Alpha, mereka sudah meluncurkan sebanyak empat buah single yang disifatkan ‘laju’ jika dibandingkan dengan penyanyi baharu lain.

Antara single yang diluncurkan termasuklah Mona Lisa, Sahabat, P Ramlee Saloma dan terbaharu mereka mempertaruhkan Bujang.

Bujang nyanyian asal Hael Husaini itu juga menjadi runut bunyi (OST) bagi drama Viu Original Satu, Dua, Dia.

Menurut Izat, mereka tidak pernah berasakan momentum Alpha terlalu laju sebaliknya menyifatkan situasi tersebut sebagai satu bentuk rezeki dan peluang yang harus direbut.

“Kami tidak anggap perjalanan ini terlalu pantas tetapi adalah satu rezeki yang besar untuk kumpulan baharu seperti Alpha.

Tidak tertlintas sedikit pun mendabik dada dengan populariti ketika ini dan akan terus belajar kerana usia masih terlalu ‘hijau’

“Syukur juga memiliki peminat setia iaitu Alphanite yang sentiasa menjadi tulang belakang dan tidak berhenti menyokong,” tuturnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok