‘Saya pilih menjauh, terlalu banyak kebencian, toksik!’

“SAYA jarang buka media sosial sekarang, sebab rasa terlalu banyak toksik”

Demikian pengakuan pelakon Nabila Huda yang semakin menjauhkan diri daripada media sosial kerana merasakan terlalu toksik dan mengganggu kestabilan emosi.

Ujar Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi, 40, dia kini lebih selesa meminimumkan aktiviti dalam talian dan hanya membuka aplikasi tertentu atas urusan kerja.

“Baru tengok sekejap pun dah pening kepala. Jadi saya tak baca komen, tak tengok posting orang, tak buka gosip atau berita hiburan.

Saya cuma post bila perlu, sebab ada urusan bisnes. Selain daripada itu, saya memang tak buka langsung. Kalau nak berhubung dengan saya, hantar WhatsApp sahajalah. Media sosial bukan tempat yang sihat,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Telaga Suriram itu, pengalaman membaca komen penuh kebencian terhadap individu lain membuatkan dia serik untuk terus berada lama dalam platform digital.

“Pernah sekali saya terbaca satu isu, dan masa baca komen-komen orang tu saya terfikir, apa dah jadi dengan manusia sekarang? Terlalu banyak kebencian.

Orang seolah-olah dah hilang rasa kasih sayang. Semua nak tunjuk pandai, nak hukum orang lain. Kadang-kadang yang kena kecam tu pun belum tentu bersalah, tapi cara orang menulis komen, ganas sangat,” luahnya pada sidang media teater Sulalatus Salatin, semalam.

Anak kepada penyanyi legenda Amy Search itu turut mengakui  mudah berfikir secara mendalam sehingga cenderung tertekan apabila membaca perkara negatif dalam talian.

“Saya ni jenis cepat fikir. Kalau baca benda negatif, saya boleh stress sampai terbawa ke rumah. Jadi saya elakkan terus supaya jiwa lebih tenang.

Saya rindu zaman dulu waktu surat khabar jadi sumber bacaan. Sekurang-kurangnya berita yang dibaca itu berisi dan bermanfaat. Sekarang buka media sosial, semuanya penuh drama dan kebencian,” jelasnya.

Justeru, keadaan tersebut membuatkan ibu satu anak itu bimbang memikirkan generasi baharu termasuk puteri tunggalnya sendiri yang bakal membesar dalam dunia penuh komentar tanpa empati.

“Bila fikir tentang anak-anak muda sekarang, saya risau kalau benda ni jadi normal. Anak saya pun sedang membesar, jadi saya takut kalau budaya membenci ini buatkan mereka trauma.

Sebab itu saya pilih untuk menjauh. Dunia maya dah tak seronok macam dulu. Saya lebih bahagia bila tak ambil tahu,” tuturnya.

Terdahulu, Nabila mendedahkan dirinya kini berada dalam fasa kehidupan lebih tenang dan memilih untuk menjauhkan diri daripada dunia luar termasuk media sosial serta khalayak ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok