Netizen nak ikut cakap mereka, kalau silap kena ‘cancel’ – Elvina

BUDAYA ‘cancel’ atau diboikot netizen langsung tidak menjadi kudis buat pelakon Datin Elvina Mohamad.

Teruk dikecam selepas disangka melakonkan adegan ranjang dalam terbaharu lakonannya itu,  Elvina, 30, berpendapat budaya ‘cancel’ dalam kalangan masyarakat kini dilihat keterlaluan sehingga ada segelintir netizen seolah-olah mahu mengawal setiap tindakan dan keputusan selebriti.

Katanya, sebagai manusia dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak apatah lagi berdepan dengan sikap netizen yang mahu setiap selebriti hidup bawah telunjuk mereka.

“Kalau nak ‘cancel’, kita tak boleh nak buat apa sebab saya rasa kalau kita hidup untuk puaskan orang, susah juga sebab kita takkan boleh puaskan semua orang.

Tak tahu mengapa budaya ‘cancel’ sekarang ini menular dalam kalangan kita. Saya rasa netizen sekarang mahu kita ikut kata-kata mereka, kalau kita buat silap sikit saja, kena ‘cancel’.

“Kita pun manusia, kita buat salah juga, jadi bagi saya itu adalah pilihan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis ramah mesra bersama pelakon drama Safira (Bukan Nama Sebenar), di ibu negara.

Jelasnya lagi, budaya yang bermula di luar negara tersebut, kini menjadi ikutan di Malaysia termasuk dalam isu-isu sensitif membabitkan Palestin.

“Budaya ‘cancel’ ini bermula di Hollywood, jadi kita terikut, yang mana kalau ada seseorang buat silap saja, terus ‘cancel’ seperti isu Palestin.

Ramai saja selebriti yang memuat naik hantaran menyokong Palestin tapi sebab netizen tak nampak hantaran itu, mereka ‘cancel’, padahal orang ramai tak tahu selebriti juga berikan bantuan dan sumbangan,” ujarnya lagi.

Pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu turut mengakui namanya tersenarai dalam kelompok yang diboikot netizen susulan isu Palestin namun memilih untuk tidak ambil peduli kerana enggan memanjangkan isu yang tidak membawa manfaat.

“Saya tahu nama saya juga ada dalam senarai ‘blacklist’ atau kena ‘cancel’. Bagi saya, budaya sebegini tak patutlah berlaku dalam negara kita tapi terpulang pada individu masing-masing, kalau kita melayan, menjawab akan ada juga kesalahan jadi lebih baik berdiam diri.

Bagi saya, ‘cancel’ atau tidak, jumlah pengikut tetap sama, jumpa di luar pun sama saja. Netizen saja komen sebegitu nak melaga-lagakan dan menambahkan perkara negatif dalam ruangan komen,” jelasnya.

Dalam drama Safira (Bukan Nama Sebenar), Elvina memegang dua watak iaitu Safira dan Nilam yang membawa kisah transformasi seorang wanita muda dalam pencariannya terhadap cinta sejati

Selain Elvina, drama arahan Ejump Mohd. itu turut dibintangi Redza Rosli, Datuk Aaron Aziz, Sazzy Falak, Malek Mccrone dan Hazeeq Dean. Safira (Bukan Nama Sebenar) akan ditayangkan dalam aplikasi iQIYI bermula 7 November depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok