‘Mahu keluarga kekal harmoni, jangan tayang bahagia, harta’

RUMAH tangga kekal harmoni di saat deretan selebriti bercerai, pelakon Ashraf Muslim menasihati pasangan suami isteri supaya bijak menjaga privasi keluarga.

Ujar Ashraf atau nama penuhnya Muhd. Ashraf Muslim, 44, kunci kebahagiaan rumah tangga bergantung pada kejujuran mengurus emosi dan menjaga batas perkongsian dalam media sosial.

Keluarga itu hak kita. Mereka harta paling mahal. Harta perlu dijaga baik-baik, disanjung, disayangi. Ada perkara boleh kita kongsi, ada perkara patut simpan untuk diri sendiri.

“Sebab kalau semua benda nak dicerita pada orang, apa pula yang tinggal untuk kita dan pasangan? Itu amanah dalam rumahtangga,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas penerimaan zaman media sosial, pelakon drama Mandul Bukan Pilihan itu menegaskan kemewahan, kesedihan atau kesakitan tidak wajar dijadikan modal dalam meraih perhatian.

Media sosial bukan tempat dapat bahagia. Banyak kesan negatif. Untuk kekalkan keharmonian, jangan rajin tunjuk bahagia, harta, sedih atau sakit.

“Perkara begitu boleh undang fitnah. Sekarang teknologi maju, jaga jari, jaga kata-kata. Jangan sampai keluarga kita terguris,” ujarnya pada sidang media telefilem Bisikan Qarin, hari ini.

Paling penting kata bapa enam anak itu, kedua isterinya sudah maklum mengenai batasn perkongsian dan memahami prinsip tersebut sejak awal.

Keluarga pun tahu. Ada benda boleh kongsi, ada benda tak. Itu ‘common sense’. Sebagai suami dan ayah, saya tahu apa layak dikongsi dan apa perlu simpan.

“Kena berhati-hati, zaman sekarang sensitif. Kadang-kadang saya pilih untuk tunjuk diri sendiri sahaja. Itu lebih selamat,” tambahnya.

Ashraf turut berpesan agar masyarakat tidak obses membaca kehidupan orang lain melalui media sosial sehingga mengabaikan nilai agama.

Sekarang ramai percaya media sosial lebih daripada Tuhan. Kalau rasa perkongsian bawa ke syurga, teruskanlah.

“Tapi kalau nampak mudarat kepada diri atau keluarga, lebih baik elak. Hati-hati bila berkongsi, hati-hati bila komen. Jangan sampai rosakkan jiwa kita,” luahnya.

Untuk rekod, Ashraf mendirikan rumah tangga dengan Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011 di Tanah Suci Mekah, dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Anas Ashraf, 10.

Pelakon itu kemudian bernikah dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Thailand. Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Sarah Ashraf, 11, Adam Ashraf, 10, Safiyyah Ashraf, 7, dan Ali Ashraf, 5 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok