‘Kuasa doa ibu, hati saya lapang, tenang’ 

KETIKA dunia berantakan dan kehidupan dirantai pelbagai tekanan dan emosi galau, semua itu memaksa hampir setiap manusia berjuang mencari ruang kedamaian.

Tanpa sedar, mencari ruang damai dalam hidup atau boleh dikatakan sebagai proses penyembuhan mampu menjelmakan sebuah trend yang besar pada zaman kini.

Hari ini, terlalu banyak cara dilakukan untuk memasuki ruang lingkup ‘healing’ atau penyembuhan tersebut termasuk menghadiri acara hiburan, aktiviti keagamaan dan sebagainya.

Bagi penyanyi Anuar Zain, proses penyembuhan sangat penting terutama terhadap seseorang yang sudah berdepan dengan sepak terajang dunia yang kejam.

Untuk zaman sekarang, proses penyembuhan sangat penting dan perlu cari ‘support system’ yang tepat seperti keluarga dan kawan-kawan.

“Adakalanya kita tak mampu nak hadapi semuanya seorang diri sebab fikiran celaru dan emosi tidak stabil.

“Jadi, ‘healing’ adalah jalan terbaik untuk cari semula arah tuju dan tenangkan diri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ujar pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain itu, lagu juga mampu menjadi alat yang membantu seseorang melalui proses penyembuhan.

Perkara tersebut terbukti apabila terdapat individu yang mengakui mendengar lagunya untuk menghilangkan tekanan hidup seharian.

“Ada pasangan suami isteri yang melalui fasa getir dalam hidupnya termasuk hilang pekerjaan dan dihalau dari rumah.

Setiap hari mereka akan dengar lagu saya iaitu Bila Resah, bantu hilangkan stres. Siapa sangka lagu serancak itu ada makna yang besar dalam hidup orang lain,” katanya lagi.

SELAMA 30 tahun dalam industri, Anuar Zain berbesar hati untuk pertama kali beraksi di pentas ikonik, Stadium Merdeka menerusi konsert Healing Night 2026 pada 26 Januari tahun depan.

Dalam masa sama, Anuar menegaskan, proses penyembuhan jiwa terbaik ialah kembali kepada pegangan agama.

“Ada banyak cara untuk mengubati perasaan dalam diri dan paling terbaik ialah berbalik kepada kepada ajaran agama kita.

Belajar reda dan banyakkan berdoa. Semua perkara yang sudah berlaku biarkan sahaja tetapi paling penting teruskan hidup dengan semangat yang ada,” jelasnya.

Ditanya mengenai mengubati jiwa yang berduka dalam kehidupan seharian, pelantun lagu Lelaki Ini itu berkata, doa ibu adalah yang paling mujarab.

“Sebagai seorang anak, kita tak akan kongsi masalah dengan ibu bapa, seboleh-bolehnya akan selesaikan semua sendiri.

Jadi, cara saya ialah luangkan masa dengan ibu kemudian minta doa daripadanya.

“Kadang-kadang dia hubungi saya dan beritahu sudah bacakan surah Yassin atau sudah lakukan solat hajat untuk anak-anaknya. Selepas dengar begitu, hati saya rasa sangat lapang, tenang, kuasa doa seorang ibu,” ujarnya.

Stadium Merdeka

Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 55 tahun itu teruja apabila bakal membuat persembahan sulungnya di Stadium Merdeka pada konsert Healing Night 2026 yang akan berlangsung 24 Januari 2026.

“Saya tidak pernah buat konsert di Stadium Merdeka sepanjang 30 tahun bergelar penyanyi.

Sebab itu saya seronok menerima tawaran konsert ini, rasa seperti sebuah penghargaan besar dan pastinya akan memberi sebuah pengalaman berbeza kerana umum tahun Stadium Merdeka adalah lokasi ikonik negara,” tuturnya.

Selain Anuar, acara anjuran Kembara Nusantara Sdn. Bhd. dan disokong Creative Page Sdn. Bhd. tersebut turut dibarisi nama hebat lain iaitu Ella, Dayang Nurfaizah dan penyanyi dari Indonesia, Lyodra serta kumpulan, Kangen Band.

Anuar juga mengakui hatinya terbuka untuk terlibat dengan konsert tersebut adalah disebabkan barisan artis yang terlibat dan konsep ‘healing’ yang diketengahkan pihak penganjur.

“Bila mereka beritahu ada Ella dan Dayang, saya terus rasa okey dan mahu lakukannya.

“Macam kita tahu, lagu-lagu Lyodra bagus dan Kangen Band memang popular serta ada peminatnya sendiri.

“Kemudian, tema ‘healing’ juga sangat bagus selain macam-macam aktiviti yang mereka turut sediakan, insya-Allah bakal beri kepuasan kepada pembeli tiket,” ujarnya lagi.

Konsert Healing Night 2026 turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dilihat mampu menjadi platform memperkenalkan budaya serta seni Nusantara secara bersepadu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok