‘GV12 tak tunggang kontroversi cerai Nubhan’

DIAM tak diam, program hiburan nombor satu Astro, Gegar Vaganza kini kembali untuk tahun yang ke -12 (GV12).

Seperti biasa setiap tahun peminat rancangan ini ternanti-nanti siapakah barisan artis tempatan dan luar negara yang akan dipilih merebut gelaran juara, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000.

Musim kali ini memperkenalkan konsep eksklusif “GV-Verse”, sebuah dimensi yang diinspirasikan daripada aura dan keunikan bintang-bintang Gegar Vaganza 12 (GV12) yang mempunyai kelebihan tersendiri sehingga ke hari ini.

Tahun ini menyaksikan 13 barisan peserta solo dan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal menampilkan kehebatan seni serta menghidupkan kembali pentas GV dengan persembahan yang penuh pesona dan luar biasa.

Mewakili Malaysia, barisan peserta GV12 menampilkan nama-nama hebat seperti penyanyi solo Datuk Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan, bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal menghidupkan semula pesona irama tempatan.

Dari Indonesia pula pentas GV12 diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.

SERAMAI 13 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura akan mempertaruhkan saing sengit dalam Gegar Vaganza musim ke-12 bermula Ahad ini.

Sementara itu, dari seberang tambak, Singapura pila tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karismanya.

Menambah elemen misteri dan kejutan, pihak produksi turut memilih penyanyi, pelakon dan pelawak SHY8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha yang hadir sebagai peserta wildcard musim ini.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, pihak produksi mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan bintang-bintang GV tahun ini daripada ketiga-tiga buah negara.

Namun katanya, Rahmat Ekamatra ialah peserta yang paling susah untuk dipujuk.

“Sebenarnya sudah tiga tahun kami cuba memujuk Rahmat untuk sertai GV. Akhirnya tahun ini dia bersetuju untuk menjadi peserta,” kongsinya.

Ditanya tentang wish list idaman peminat GV yang tidak tersenarai tahun ini, kata Raqim tidak semua penyanyi kegemaran mereka masih boleh menyanyi dengan baik.

“Kita faham ramai yang ingin melihat penyanyi kegemaran mereka sertai GV12. Tetapi tidak semua penyanyi-penyanyi tersebut masih boleh menyanyi dengan baik. Kita tidak mahu malukan mereka seandainya kita pilih tetapi mereka tak dapat buat persembahan dengan baik,” katanya.

Salah seorang peserta yang terpilih tahun ini sedang dilanda kontroversi kes perceraian iaitu Nubhan. Kata Raqim bukan niat produksi memilihnya untuk menunggang kisah sensasi, sebaliknya pemilihan Nubhan dibuat lebih awal lagi.

“Kita telah memberi tawaran ini lebih awal sebelum dia bercerai lagi. Jadi dakwaan mengatakan kami cuba menunggang kisah peribadi tidak benar sama sekali. Semuanya berlaku secara kebetulan. Kami tidak pernah mencampuri urusan peribadinya,” ujarnya.

Sementara itu, Nubhan berkata, dia akan sedaya upaya memastikan masalah rumah tangganya tidak menganggu konsentrasinya dalam pertandingan.

“Sejujurnya perkara ini bukan mudah untuk saya lalui. Kedua-duanya berlaku serentak tanpa saya duga. Saya terpaksa kuatkan mental saya. Saya kena move on dan teruskan perjuangan. Saya harap saya dapat mengawal situasi ini dengan baik,” katanya.

Bagi penyanyi Indonesia, Shae yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu Sayang, 13 tahun lalu, dia terkejut apabila dihubungi Astro.

“Mulanya saya ingatkan ini adalah ‘prank’. Kerana nombor yang menghubungi saya adalah nombor Indonesia. Tetapi saya diberitahu program ini dari Malaysia. Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia setelah sekian lama,” ujarnya.

Barisan juri profesional yang bakal mengadili setiap peserta pula masih dikekalkan seperti musim lalu iaitu Datuk Ramli MS selaku ketua juri, Datuk Syafinaz Selamat dan dari Indonesia, Hetty Koes Endang.

Rancangan yang akan berlangsung selama 12 minggu ini akan dikendalikan oleh pengacara Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.

Musim ke-12 GV bakal bersiaran secara langsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, pukul 9 malam dam disiarkan menerusi saluran Astro Ria. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok