Anggun berseri, Puteri Balqis, kekasih bertunang 12 Ogos?

BERKONGSI momen penuh bermakna, pelakon Puteri Balqis memberi bayangan sudah menjadi tunangan orang apabila membuat perkongsian majlis pertunangannya dengan jejaka pilihan hati yang dikenali sebagai Kafziel.

Lebih menambahkan keyakinan, Puteri Balqis atau mesra disapa Aqish, 18, turut menzahirkan penghargaan berupa sebuah puisi daripada ibunya, Norashikin Mohd Aziz kepada bakal suaminya yang memaparkan tarikh dipercayai hari pertunangannya iaitu pada 12 Ogos 2025.

“Aku lahir dari duka, kau dewasa bersama luka, maka andai derita menjadi pusaka, Maka tenanglah, pabila kau berjalan bersama kecewa.

“Moga kau mampu menggantikan kesedihan dengan kelembutan, moga jiwamu yang mati, diganti dengan keadilan, ketenangan abadi.

“Andai cinta dan pengorbanan adalah wasiat terakhir buatmu, maka berlarilah mengejarnya, belajarlah dari beban yang ditinggalkan oleh rantai waktu,” itu antara bait puisi dikongsikan di laman sosialnya.

Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia 2014 itu turut memuat naik deretan foto pada majlis tersebut termasuk bersama bakal mentua.

Aktres terbabit juga tampak anggun mengenakan busana serba putih ketika acara menyarung cincin daripada wakil keluarga pihak lelaki.

Malah, dia dan tunangnya turut merakamkan gambar berdua, bersama seisi keluarga kedua-dua pihak selain berkongsi foto dulang hantaran masing-masing.

Menerusi ruangan komen, ramai rakan artis serta pengikut akaunnya menitipkan ucapan tahniah selain mendoakan kebahagiaan pasangan terbabit.

Tidak kurang juga yang mengakui sebak membaca coretan dikongsikannya yang disifatkan sebagai luahan tulus hati seorang ibu.

“Selamat menempuh alam pertunangan. Semoga ikatan ini berkekalan sehingga ke jinjang pelamin seterusnya ke akhir hayat,” tulis netizen.

Sebelum ini Puteri Balqis berdepan kecaman dan tuduhan tidak berasas sehingga memaksanya menjelaskan status dua lelaki yang kerap bersama dia dan ibunya.

Tegasnya, selain tunang, seorang lagi individu yang menjadi bualan hangat di media sosial adalah Faris iaitu bapa tirinya.

Antara tuduhan dilemparkan yang mendorongnya tampil menjelaskan keadaan sebenar adalah dakwaan dia dan ibunya menjalinkan hubungan terlarang sesama ahli keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok