Terkejut, hanya tinggal 2,000 tiket lagi – Siti Nurhaliza 

BELUM pun sempat memulakan latihan, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terkejut apabila jualan tiket konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza ‘Passion, Sincere & Love’ yang dijadualkan pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil hampir habis terjual hanya dalam tempoh dua minggu.

Menurut Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, sebanyak 58,000 tiket hampir habis dijual dan kini tinggal sekitar 2,000 tiket terakhir melibatkan tempat duduk kategori VIP, Platinum dan Gold.

“Alhamdulillah, sambutan amat luar biasa. Sekarang hanya tinggal kira-kira 2,000 tiket lagi. Saya sendiri pun terkejut dengan keghairahan peminat membeli tiket dalam tempoh singkat ini.

Sebenarnya saya pun berdebar juga. Saya ada beritahu Kak Rozi (pengurus), bolehkah kita buat konsert ini sebab jadual agak padat dan konsert kali ini bukan di Stadium Axiata tetapi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Namun, tak sampai sebulan tiket sudah terjual lebih 50 peratus,” katanya kepada HibGlam.

Pelantun lagu Sehebat Matahari yang bakal meraikan tiga dekad perjalanan seninya itu berkata, latihan intensif untuk konsert mega tersebut akan bermula minggu kedua November.

Paling manis, lebih daripada 25 lagu akan dipersembahkan dalam durasi hampir tiga jam, sebagai penghormatan terhadap 30 tahun ‘jam terbang’ dalam arena muzik tanah air.

Insya-Allah, saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat semua yang hadir. Saya mahu setiap penonton benar-benar terhibur dan pulang dengan kenangan indah.

“Apa yang penting, mereka berasa puas dengan kualiti bunyi yang mantap dan keseluruhan pengalaman menonton konsert ini. Saya ingin hadiahkan momen yang tidak akan dilupakan,” ujarnya.

Mahu semuanya lancar, ibu dua anak itu turut berdoa agar kesihatan dirinya sentiasa baik menjelang tarikh konsert berkenaan, selain berharap keadaan cuaca mengizinkan.

“Doakan saya sihat, sebab jujurnya risau juga dengan cuaca hujan atau banjir sekarang.

“Harapan saya, pada hari konsert nanti semuanya dipermudahkan dan berlangsung lancar,” kongsinya pada sidang media pelancaran album tradisional terbaharunya, Gema Bumantara, semalam.

Dalam perkembangan lain, Siti turut memperkenalkan album terbaharunya berjudul Gema Bumantara yang dianggap sebagai manifestasi cintanya terhadap warisan muzik tradisional Melayu.

Album Gema Bumantara memuatkan 10 lagu baharu termasuk Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.

Karya itu turut menghimpunkan barisan komposer dan penulis lirik hebat seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Datuk Habsah Hassan, Ahmad Fedtri Yahya serta Siti sendiri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok