Razak Ahmad kini bergelar Datuk

PELAKON, Razak Ahmad dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 Sultan Pahang, semalam.

Istiadat pengurniaan tersebut disempurnakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, semalam.

Razak, 58, berkata penganugerahan itu diterima dengan penuh kesyukuran dan turut disifatkan sebagai amanah yang perlu digalas dengan penuh integriti.

“Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penganugerahan bermakna ini.

“Penganugerahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan peribadi, tetapi amanah besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, tanggungjawab dan dedikasi.

“Saya menerima gelaran ini sebagai dorongan untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan negara dengan lebih tekun serta ikhlas,” katanya.

Pada masa sama, anak jati Pahang itu menzahirkan penghargaan kepada keluarga serta insan sekeliling yang berterusan memberikan sokongan terhadapnya.

“Terima kasih juga kepada keluarga tersayang, rakan-rakan dan semua pihak yang sentiasa memberi sokongan dan doa sepanjang¹ perjalanan ini.

“Tiada kejayaan yang datang tanpa kerjasama, kepercayaan dan kasih sayang dari insan-insan yang hebat di sekeliling saya.

“Semoga saya terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam memikul tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Pelakon dan penyanyi yang masih aktif hingga kini itu menceburi arena seni sejak tahun 1985.

Beliau pernah membintangi filem Embun, Yamashita, Salam Cinta. Suami Aku Ustaz, Keluarga Iskandar The Movie, Budak Flat, Mak serta Senario Dalam Pemburu Emas.

Razak turut beraksi dalam puluhan drama termasuk Abadi Sebuah Cinta, Hikayat Putera Shazlan, Geng Surau, Keluarga Baha Don, Ayat-Ayat Halal, Teguh dan Gila-Gila Pengantin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok