TIDAK menjelaskan punca, penyanyi Linda Rafar secara tiba-tiba mengumumkan menarik diri daripada kumpulan Elite.
Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abd Rafar, 47, mengakui keputusan itu dibuat dengan berat hati.
“Hanya kepada Allah aku berserah. Maafkan Linda jika tak dapat bersama Elite lagi.
“Sedih sangat, nak tulis pun tak boleh. Moga Allah kuatkan Linda dalam apa juga keadaan,” tulisnya dalam hantaran Threads.
Pengumuman itu mengejutkan ramai kerana sebelum ini Linda bersama empat anggota Elite lain bergabung merealisasikan konsert Elite Live 25 di Plenary Hall, KLCC pada 20 September lalu.
Walaupun tidak menyatakan punca mengambil keputusan drastik itu, dipercayai tindakannya ada kaitan dengan tekanan emosi akibat teruk dikritik netizen.
Sebelum ini dia dikecam gara-gara busana dipakai pada majlis pengumuman konsert Elite yang membuatkannya hampir menarik diri daripada beraksi pada acara itu.
Akibat ‘serangan’ tersebut, Linda mendedahkan mengalami gangguan keresahan atau ‘anxiety’ selain hilang selera makan.
Menerusi maklum balas, ramai pengikut termasuk rakan artis memberikan sokongan moralnya dengan menyifatkan itu langkah terbaik demi kesihatan mentalnya.
“Alhamdulillah, saya rasa memang itu yang terbaik. Semoga Allah permudahkan urusan Linda dan dikurniakan kesihatan yang baik,” tulis netizen.
Selain Linda, kumpulan yang ditubuhkan KRU Records pada tahun 1995 turut dianggotai Abby Abadi, Azza Zawari, Sasha Saidin dan Watie Sadali. – HIBGLAM
