PEGUAM Syarie, Muhammad Syazmee yang mewakili pelakon Uqasha Senrose menegaskan penukaran dan penarikan diri peguam daripada mewakili anak guam mereka adalah perkara biasa.
Muhammad Syazmee berkata, perkara tersebut juga berlaku kepada Uqasha apabila peguam yang mewakilinya pada prosiding terdahulu iaitu Nurfarhana Abd Manaf menarik diri sebelum melantiknya hari ini.
“Untuk peguam sebelum ini sudah selesai untuk urusan penarikan diri.
Jadi saya yang akan menyambung sambung tugas untuk prosiding seterusnya.
Ditanya punca peguam terdahulu menarik diri daripada mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee memaklumkan tidak berlaku sebarang isu mengenai perkara tersebut.
“Setakat ini tiada isu.Itu perkara biasa, maksudnya mana-mana peguam ada hak untuk tarik diri atau lepaskan diri daripada mewakili seseorang.
Uqasha tiada masalah dengan peguam terdahulu.
“Setakat ini tak ada masalah dan perkara yang biasa sahaja untuk pelantikan, penarikan diri mana-mana peguam seperti kami,” ujarnya.
Hari ini, mahkamah turut menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, kes tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, iaitu permohonan perceraian dengan alasan tiada persefahaman antara suami isteri.
Kamal yang ditemui di mahkamah hari ini turut menegaskan akan terus berusaha memujuk isteri dan mempertahankan rumah tangga mereka.
Dia juga menolak dakwaan mengasari isteri dan tidak pernah berlaku curang terhadap Uqasha.
Sementara itu, Uqasha pula nekad meneruskan prosiding perceraian yang difailkannya terhadap Kamal.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM
