MENJADI ‘tetamu Allah’ di Mekah adalah impian setiap umat Islam. Namun, tidak semua orang berpeluang ke sana jika belum sampai ‘serunya’, ini termasuklah faktor kewangan yang belum mencukupi.
Justeru penyanyi, Ayu Damit lebih memilih melakukan umrah secara ‘Do It Yourself (DIY) bersama sahabatnya, usahawan pelancongan Datin Aisyah Ghazali yang juga Pengurus Perhubungan Awam di Izz Ikhwan Travel Empire.
Umrah DIY bermaksud menunaikan ibadah umrah dengan merancang dan menguruskan perjalanan sendiri tanpa bantuan agensi pelancongan, yang merangkumi tempahan tiket penerbangan, penginapan, visa, dan pengangkutan di Arab Saudi.
Kali pertama Ayu dan Aisyah memilih menunaikan umrah DIY adalah pada tahun lepas secara berkumpulan kerana harganya murah berbanding pergi bersama ejen.
Jelas pelantun lagu Hanya Di Mercu itu, kos umrah DIY berharga RM 3500 sekepala.
“Saya mula tahu tentang umrah DIY apabila Datin Aisyah menawarkannya pergi bersama kumpulan bawah Izz Ikhwan.
“Menunaikan umrah secara DIY adalah satu pengalaman berbeza berbanding mengikuti pakej agensi pelancongan yang mencecah paling minimum RM6000 untuk seorang.
“Bagi saya, umrah DIY ini satu peluang yang sangat bagus buat mereka yang tidak cukup wang tapi mahu menunaikan umrah. Iyalah, biasanya kita selalu dengar alasan orang lain kewangan tak mencukupi untuk ke sana.
“Dengan adanya umrah DIY, tiada alasan lagi untuk menjadi ‘tetamu Allah’ kerana kosnya lebih rendah,” katanya pada Anugerah Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire yang berlangsung di Mines Beach Resort, Seri Kembangan, Selangor.

Menurut Ayu yang bakal menunaikan umrah DIY November ini, banyak kelebihan yang dapat dinikmati.
“Antara perkara yang saya suka tentang umrah DIY ini adalah boleh merancang jadual sendiri. Masa lebih fleksibel membolehkan saya untuk melakukan lebih banyak ibadah sebab tak terikat dengan jadual.
“Selain itu, kos yang lebih jimat dari menggunakan agensi turut menarik minat saya. Mudah untuk saya memilih hotel dan restoran mengikut bajet yang saya ada,” katanya.
Sementara itu, menurut Aisyah yang juga mesra disapa Asha, umrah DIY memerlukan persediaan tertentu agar ibadah berjalan dengan lancar.
Walaupun tanpa menggunakan agensi, anda yang mahu buat umrah DIY boleh membuat persiapan sendiri.
“Antaranya adalah memastikan dokumen seperti pasport sah digunakan sekurang-kurangnya enam bulan, lengkapkan vaksinasi meningitis dan Covid-19 (jika masih diperlukan), serta dapatkan Sijil Vaksin Antarabangsa (ICV).
“Bukan itu sahaja, anda perlu dapatkan visa umrah atau visa pelancong secara digital melalui platform rasmi dan pilih syarikat penerbangan serta tempah tiket ke lapangan terbang Jeddah (JED) atau Madinah (MED) mengikut bajet anda.
“Persediaan lain yang perlu dibuat adalah seperti menyediakan pakaian yang sesuai dengan cuaca panas, bawa barangan peribadi penting seperti sandal, pelindung matahari, dan ubat-ubatan,” katanya.
Asha juga menjelaskan, Izz Ikhwan Travel turut membantu dalam menyampaikan maklumat berkaitan semua kumpulan yang buat umrah DIY.
Menyentuh tentang Malam Gala Izz Ikhwan Travel Empire, 50 ejen diraikan sempena 11 tahun syarikat tersebut dalam industri pelancongan.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran , Penaung Izz Ikhwan Travel Empire, Datuk Ikhwan Lutfi Zakaria, Datuk Zaifrina Zainuddin dan Datin Normala Samsudin selaku Pengarah Kumpulan Mines Beach Resort.
Selain itu, dalam majlis tersebut, para ejen juga bersolidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas dan dizalimi rejim Zionis Israel. – HIBGLAM
