BARU sembuh akibat demam, penyanyi Daiyan Trisha mengakui impak serangan Influenza A terhadap dirinya lebih teruk berbanding Covid-19.
Daiyan atau nama lengkapnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin berkata, dia terbuka berkongsi situasi kesihatannya ketika ini berikutan peningkatan kes jangkitan penyakit terbabit.
“Hari-hari Influenza A akhirnya berakhir. Biasanya saya tak beritahu orang apabila saya sakit, tapi kali ini rasa nak kongsi pengalaman sebab sekarang ramai yang kena jangkitan virus ini.
Bagi saya lagi teruk daripada Covid-19, sakit gila nak mati. Bermula dengan sakit tekak dan sekelip mata terus tumbang. Hari pertama memang terlantar atas katil dan terpaksa tangguhkan semua urusan.
“Rasa berat kepala dan badan, migrain berterusan, sakit sendi, cirit-birit, semuanya datang dalam pakej dan buat wanita, walaupun bukan haid, kalian mungkin rasa sakit seperti senggugut, tapi itu bukan rahim, itu kesan virus,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Daiyan yang juga pelakon, dua hari pertama merupakan fasa paling sukar, manakala waktu berikutnya keadaan beransur pulih namun tubuh tetap kurang bermaya sehingga perlu berbaring di katil.
Saya juga mengalami keadaaan menggigil pada waktu malam, malah pernah pitam di tandas di satu subuh.
“Dua hari pertama adalah yang paling teruk, manakala hari-hari berikutnya agak terkawal walaupun saya hampir tidak bangun dari katil.
“Sakit itu datang dan pergi, sekejap rasa okey, sekejap rasa teruk. Tapi saya tetap mampu bertahan juga akhirnya,” ujarnya.
Penyanyi lagu Kerana Kau itu turut menasihatkan mereka yang berdepan simptom selesema atau demam untuk segera membuat ujian selain menjalani kuarantin kendiri sebaik disahkan positif.
Kalau rasa tak sihat, tolong pergi buat ujian. Kalau dijangkiti, tolong kuarantin diri. Ini bukan masa untuk pentingkan diri. Virus ini sangat mudah berjangkit dan amat menyakitkan.
“Bayi dan kanak-kanak boleh menderita teruk kalau kita tak ambil langkah pencegahan. Dengar badan sendiri, ambil suplemen, minum air secukupnya dan jaga diri baik-baik semua,” katanya. – HIBGLAM
