PERNAH dianggap pengkid atau wanita berperawakan lelaki, pelakon Ardell Aryana mengakui masih ada individu mendakwa hijab dipakai sekarang hanya sebagai topeng menutup kekhilafan lalu.
Mengakui tanggapan itu disebabkan imej masa lalu, Ardell atau nama lengkapnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, berkata penghijrahan dilakukan adalah atas keikhlasan serta kesedaran untuk menjadi muslimah lebih baik.
“Saya sendiri yang datangkan fitnah itu dulu. Orang semua cakap saya pengkid, lesbian. Masa rambut panjang ke rambut pendek pun, tetap orang cakap saya lesbian.
“(Sekarang) masih sama, orang anggap saya pakai tudung sebab nak cover (tutup) isu yang lepas, isu (kononnya) saya suka sesama perempuan.
“Sebenarnya saya pakai tudung sebab hati saya sendiri yang nak,” katanya dalam perkongsian video lama yang kini kembali tular di laman TikTok.
Menerusi ruangan komen, ramai netizen memberikan kata-kata sangat agar isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu jangan menghiraukan tuduhan selain terus istiqamah.
“Jangan lihat kisah silam seseorang, lihat dia hari ini. Bukan mudah untuk berjuang menjadi insan lebih baik,” tulis seorang netizen.
“Allah pun pandang di pengunjung hidup hamba-Nya, bukan siapa dirinya yang dahulu,” kata pengguna TikTok lain.
Perkongsian seorang pemilik akaun TikTok itu juga mengundang perdebatan apabila ada netizen kurang senang apabila kisah lampau Ardell dikorek semula.
Begitupun, ada yang melihat perkara ini dari sudut positif kerana disifatkan mampu memberi impak positif terhadap jalan penghijrahan dipilih aktivis kemanusiaan itu. – HIBGLAM
