‘Bismillah 5 banyak manfaatnya, amal sejak ada Aafiyah’

PERCAYA hakikat kehidupan ada hitam dan putih, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dirinya sentiasa mengamalkan zikir Bismillah 5 sebagai benteng diri daripada perkara tidak diingini.

Menurut Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, amalan itu dipelajari daripada ibunya sejak dia mempunyai anak kecil dan terus diamalkan hingga kini sebagai pelindung rohani buat seisi keluarga.

“Zikir Bismillah 5 ini banyak manfaatnya, saya belajar daripada mak waktu Aafiyah masih kecil.

Bukan untuk anak kecil sahaja, tetapi untuk kita semua juga. Kalau sebelum ini saya hanya membaca selawat dan doa pelindung seperti tiga qul, namun sejak ada anak, mak berpesan supaya baca doa sebegini supaya terhindar daripada perkara buruk.

“Sejak itu saya amalkan untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya mengenai insiden menimpa anak saudaranya, Amad Dayyan yang didakwa terkena gangguan sihir ketika membuat persembahan dalam sebuah pertandingan baru-baru ini, pelantun lagu Sehebat Matahari itu enggan mengulas lanjut.

“Kisah itu sudah berlalu, tak perlulah dipanjangkan lagi.

“Setiap orang ada pengalaman tersendiri dan ini antara pengalaman yang Amad lalui. Jadi, selepas ini perlu lebih berwaspada, itu sahaja,” ujarnya.

Paling penting kata ibu dua anak itu, keluarganya sering menasihati antara satu sama lain agar sentiasa berhati-hati dalam dunia hiburan yang sarat dugaan.

“Saya dan ahli keluarga ada kumpulan WhatsApp khas. Mak selalu berpesan kepada kami, terutama yang bergiat dalam industri seni sebab dunia ini terbuka kepada pelbagai perkara.

“Kadang-kadang kita tak sedar tersalah cakap atau tersilap tindakan, jadi mak akan selalu ingatkan. Bukan mudah jadi anak seni, perlu sentiasa jaga diri dan bersederhana dalam semua hal.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tak pernah berdepan perkara pelik. Bukan bermaksud saya sudah sempurna, tapi saya percaya keseimbangan itu penting dalam hidup,” katanya pada sidang media pelancaran album tradisional terbaharunya, Gema Bumantara, di sini, hari ini.

Terdahulu, suasana cemas tercetus dalam konsert Grand Finale Talk To My Manager apabila Amad tiba-tiba kelihatan seperti diserang kesakitan ketika bersiap sedia membuat persembahan secara langsung.

Rentetan kejadian itu, Siti memuat naik hantaran zikir Bismillah 5 di Instagram Story, seolah-olah memberi bayangan tentang apa yang berlaku kepada anak saudaranya itu.

Kejadian tersebut kemudian mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, termasuk dakwaan kononnya Amad diganggu unsur mistik sehingga menjejaskan persembahannya pada malam berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Siti turut memperkenalkan album terbaharunya berjudul Gema Bumantara yang dianggap sebagai manifestasi cintanya terhadap warisan muzik tradisional Melayu.

Album Gema Bumantara memuatkan 10 lagu baharu termasuk Kumbang Bunga (duet bersama Lesti), Hati Yang Rindu, Rencong, Pesanan Buat Diri, Kaca dan Permata (duet bersama Umairah), Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.

Karya itu turut menghimpunkan barisan komposer dan penulis lirik hebat seperti Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Datuk Habsah Hassan, Ahmad Fedtri Yahya serta Siti sendiri. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok