‘Jangan sampai saya jadi gila, tolong hormat keputusan saya’

SEUMUR hidup saya dengan dia, tak pernah satu kali pun ‘candlelight dinner’ dengan dia. Jadi, mustahil.”

Demikian respons pelakon Linda Hashim berhubung kenyataan suaminya, Beego ingin membawanya keluar makan malam romantis bagi memujuk hatinya.

Menurut Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, tiada lagi ruang untuk dipujuk memandangkan sudah banyak peluang diberikan sebelum ini.

“Ini bukan tahap pujuk lagi. Dia dah selalu memujuk, saya dah tak tahu macam mana nak bagi dia faham.

Saya tengah sabar sebenarnya, kalau dia masih tak faham bahasa jangan sampai saya jadi gila. Tolong hormat keputusan saya, saya dah bagi peluang.

“Ini adalah perceraian yang ketiga. Pertama dan kedua pun saya dah bagi peluang, minta maaf setahun 10,000 kali buat dan dah diberi peluang,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.

Meskipun bakal berpisah, pelakon filem Syaitan Munafik itu mengakui akan mengekalkan hubungan baik dengan Beego demi anak-anak mereka.

Saya bukan nak sangat bercerai, tapi saya rasa dah tak boleh dan rasa dia pun dah tidak boleh. Mungkin dia selesa dengan keadaan bersama saya selama ini.

“Dia takut bila saya tak ada, persekitaran akan jadi lain tapi sekarang saya merapatkan juga silaturrahim saya dengan keluarga dia.

Maksudnya, saya pergi jumpa keluarga dia, bawa anak-anak makan dengan dia sebab nak bagi dia rasa selepas selesai perceraian mungkin kita boleh berkawan tapi sebagai suami isteri tidaklah.

“Saya nak dia tahu, saya masih lagi boleh terima dia sebagai sahabat ataupun bapa kepada anak-anak. Saya tidak akan buang, benci, anaiya dia cuma kita tiada pertalian suami isteri,” ujarnya lagi.

Linda menegaskan keputusan untuk berpisah adalah jalan terakhir selepas segala usaha menyelamatkan rumah tangga gagal.

“Kita selesaikan di sini, itu jalan yang terbaik sebenarnya. Memang dah tak ada jalan dah.

Kalau ada jalan, takkan sampai talak tiga. jadi, dia tak faham benda itu. Saya rasa dia pentingkan diri dia sebab dia tak nak lepaskan saya.

“Tapi saya harapkan prosiding selepas ini Allah lembutkan lidah, hati dia untuk terima segala ketentuan. Dia kena redalah,” jelasnya.

Terdahulu, Linda menuntut cerai daripada Beego di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun, kembali rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Perkahwinan pasangan itu diserikan dengan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, Anggun dan Indah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok