SUTRADARA Indonesia, Jastis Arimba mengakui mengagumi pengarah Syamsul Yusof yang disifatkan sebagai antara idola dan inspirasi dalam dunia perfileman.
Disebabkan itu, Jastis, 41, berharap Syamsul yang terkenal dengan karya epik dan bernilai kemanusiaan dapat menghasilkan naskhah berkaitan perjuangan rakyat Palestin.
“Secara peribadi, saya sangat mengagumi Syamsul Yusof. Dia antara pengarah kegemaran saya. Saya menonton filem-filem arahannya seperti Munafik dan Mat Kilau.
Saya berharap sebagai pengarah hebat Malaysia, dia juga mempunyai keprihatinan yang sama terhadap rakyat Palestin dan akan menghasilkan filem yang menyuarakan perjuangan ini.
“Kerja ini bukan sekadar tanggungjawab profesional, tetapi satu legasi. Sebagai Muslim yang menentang penjajahan serta kekejaman, saya mahu menyumbang dengan kemampuan yang saya ada iaitu melalui filem,” katanya kepada HibGlam pada majlis tayangan filem arahannya berjudul Hayya 3: Gaza, baru-baru ini.
Tambahnya, perjuangan rakyat Palestin boleh diterjemahkan melalui seni dengan menyuntik nilai kemanusiaan dalam karya yang dihasilkan.
Bagi saya, perjuangan Palestin ini ibarat larian maraton. Kita tidak boleh berhenti dan tidak boleh berasa letih. Semua orang mempunyai peranan masing-masing.
“Ada yang menulis, melukis, menggubah lagu atau menghasilkan filem, semuanya boleh digunakan untuk menyampaikan mesej kemanusiaan,” ujarnya.
Malah, Jastis menyifatkan peluang mengarahkan Hayya 3: Gaza sebagai satu penghormatan besar yang membolehkannya menzahirkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Dapat menghasilkan karya yang menyuarakan perjuangan rakyat Gaza dan Palestin merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga buat keluarga saya.
“Semoga lebih ramai pengarah di rantau ini akan terus bersuara melalui karya mereka,” jelasnya.
Filem terbitan Warna Pictures & 786 Productions yang diedarkan Horizon Film Entertainment berkolaborasi bersama Cinta Gaza Malaysia tersebut bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Oktober ini.
Hayya 3: Gaza dibintangi Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa,Oki Setiana Dewi, Adhin Abdul Halim dan Fauzi Baadila. – HIBGLAM
