BERADA dalam senarai aktor papan atas, siapa sangka pelakon Keanu Reeves pernah diminta syarikat pengurusan agar menukar nama sebelum berhijrah dari Kanada ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada usia awal 20-an.
Katanya, selain imej dan personaliti, panggilan juga antara kriteria penting dalam usaha menempatkan serta menyesuaikan diri dengan industri hiburan Hollywood.
Menerusi wawancara bersama Jason dan Travis Kelce, bintang filem John Wick itu berkata, dia terpinga-pinga namun tetap menggunakan nama K.C Reeves walaupun pada awalnya enggan menuruti permintaan itu.
Waktu itu saya berjalan di pantai sambil berfikir. Macam-macam perkara saya fikirkan. Nama tengah saya Charles, terfikir menggunakan Keanu Charles Reeves. Akhirnya, saya pakai nama K.C. Reeves.
“Cuma rasa janggal. Saya ke sesi uji bakat tetapi apabila nama K.C Reeves dipanggil saya tidak menjawab. Nama itu cuma bertahan enam bulan sahaja,” kongsinya.
Begitupun, nama K.C. Reeves sempat diguna pakai dalam satu episod siri The Magical World of Disney pada 1986 sebelum Reeves dikenali ramai tiga tahun kemudian menerusi filem Bill & Ted’s Excellent Adventure. – HIBGLAM
