SAYA minta maaf, bab peribadi saya lebih selesa untuk tidak jawab. Saya tahu ramai tanya.”
Demikian respons pelakon Irma Hasmie yang enggan mengulas status terkini dirinya apabila dikatakan kembali bergelar isteri orang.
Irma atau nama lengkapnya Irma Hasmie Ibrahim, 43, lebih selesa untuk tidak mengulas hal berkaitan kehidupan peribadi dan mengambil pendekatan berdiam diri.
Meskipun orang tanya secara peribadi atau melalui WhatsApp sekalipun, saya tetap berpegang pada pendirian yang sama. Bagi saya, lebih adil begitu.
“Saya rasa sama sahaja, kalau saya beritahu pun, orang akan tetap bercakap. Jadi lebih baik saya berdiam diri.
“Mengenai hal ini (status), saya rasa bukanlah untuk diuar-uarkan kepada umum. Bagi saya, yang tahu, tahulah,” katanya ketika ditemui HibGlam pada Majlis Tayangan filem Hayya 3: Gaza di Pavillion Bukit Jalil, semalam.
Bagi pelakon dan pengacara itu, keputusan untuk berdiam diri akan menimbulkan pelbagai tafsiran dan andaian, justeru itu dia memilih untuk tidak mengeruhkan keadaan.
“Saya pilih untuk diam sebab bila bercakap pun, nanti jadi sukar. Akan timbul pelbagai tafsiran dan andaian.
Keluarga saya pun kena jaga, bukan sekadar anak-anak, tapi juga keluarga besar saya.
“Emak dan ayah dah tiada, jadi saya kena fikir juga tentang ibu, bapa saudara, mak saudara dan keluarga sebelah sana. Saya tak nak membebankan mereka dengan isu-isu peribadi saya.
“Tentang spekulasi orang, benda itu memang tak boleh dielak. Zaman sekarang, apa pun kita buat, orang tetap akan bercakap. Jadi lebih baik saya jaga percakapan dan elakkan fitnah,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, nama Irma hangat diperkatakan apabila didakwa kembali mendirikan rumah tangga.
Namun, Irma memilih untuk mengunci mulut apabila diminta mengulas perkara itu.
Untuk rekod, Irma pernah mendirikan rumah tangga dengan Redza Syah Azmeer pada 2012.
Pasangan itu dilaporkan berpisah sekitar Disember 2023 sebelum mengumumkan kepada khalayak enam bulan kemudian.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syed Irfha,12 dan Irma Nur Naylie,11 yang kini berada di bawah jagaan Erma.
Redza kemudian mendirikan rumah tangga kali kedua dengan Nur Hafiza Mohd Salim pada April 2024. – HIBGLAM
