SEBULAN lebih bergelar isteri kepada aktor Fattah Amin, penyanyi dan pelakon Amira Othman mengakui sentiasa memohon doa agar rumah tangga mereka selamanya berada dalam rahmat serta kasih sayang Ilahi.
Ujar Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, dia banyak belajar daripada keindahan rumah tangga ibu bapanya yang sudah berpuluh tahun hidup bersama dengan penuh kesetiaan dan kasih.
“Kalau saya kongsi lebih-lebih nanti orang cakap, ‘baru kahwin, semuanya indah’. Kadang-kadang saya pun serba salah nak bercerita.
“Jadi, doa sajalah yang terbaik. Saya menyaksikan mak dan ayah saya hidup bersama sekian lama. Alhamdulillah, Allah masih kekalkan keindahan dalam hubungan mereka,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelantun Hati-Hati itu, setiap perjalanan hidup, baik berkahwin mahupun kekal bujang, tetap mempunyai cabaran dan warna tersendiri.
“Pahit manis itu lumrah kehidupan. Kahwin atau tidak, masing-masing ada ujiannya.
“Ini tak habis-habis orang cakap, ‘baru kahwin, baru kahwin’. Doa sajalah, mudah-mudahan kekal sampai bila-bila.
“Biasalah, baru-baru ini memanglah manis dan penuh kasih. Nanti bila sudah ada anak, mungkin ‘sweet’ itu berkurang sedikit sebab tumpuan akan berubah,” luahnya.
Senada dengan kenyataan tersebut, rata-rata peminat menitipkan doa dan ucapan positif kepada pasangan berkenaan agar terus saling memahami serta kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
“Betul tu Amira, dalam berkahwin ini toada yang manis sentiasa. Doa sahaja yang baik-baik. Semoga kekal bahagia hingga ke Jannah,” tulis seorang pengikut.
“Abaikan kata-kata negatif itu. Manis sangat tengok kalian berdua. Moga cinta sampai syurga,” ujar pengguna TikTok.
Tak kurang juga ada yang mendoakan agar pasangan itu dijauhkan daripada gosip serta fitnah dunia hiburan.
Amira dan Fattah selamat disatukan pada 14 September lalu dalam majlis tertutup penuh indah di sebuah resort mewah di Sepang. – HIBGLAM.
