‘Masih ada harga diri’ – Badron Munirah tolak jadi ‘penyedap’

NAMA Badron Munirah mungkin masih asing di gelanggang seni lakonan tanah air.

Namun, dalam platform digital, dia antara pemain hebat media sosial yang mempertaruhkan bakat sebagai pencipta kandungan apabila sering ‘trending’ menerusi aplikasi TikTok.

Dek kerana cinta mendalam terhadap dunia penciptaan kandungan, pemilik nama lengkap Mohammad Nur-Badron

Munirah Rio Abdillah, 26, nekad berhijrah dari Mukah, Sarawak ke Kuala Lumpur pada 2023.

“Saya mula hasilkan konten dalam TikTok sewaktu dunia dilanda Pandemik Covid-19. Ketika itu saya merupakan pelajar semester dua Ijazah Kajian Khidmat Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Bila tiba-tiba pihak berkuasa umum lockdown, saya tak tahu nak buat apa di rumah dan mula mencipta kandungan untuk dimuat naik dalam TikTok.

“Tak sangka pula video-video yang saya hasilkan mendapat sambutan ramai. Dalam platform ini jugalah saya berkenalan dengan sahabat-sahabat pencipta kandungan yang lain iaitu Wanchai, Farihin, Ryan Bakery, Adam Bakery, Riev dan Rushdan.

“Akhirnya kami semua putuskan untuk menetap di Kuala Lumpur bagi menghasilkan kandungan bersama-sama,” katanya.

SERIUS dalam bidang lakonan, Mun mahu berguru dengan pelakon senior dan berpengalaman.

Tahun ini bawa tuah buat jejaka mesra disapa Mun itu apabila mula menjadi pilihan ramai penerbit drama.

Satu persatu drama lakonannya menghiasi kaca televisyen dan platform perstiman. Bermula dengan drama Putri Dan Phrince kemudian Dr Pontianak dan kini dia rancak menjalani penggambaran drama bersiri 60 episod berjudul Perfect Wife.

“Alhamdulillah pintu rezeki saya dalam bidang lakonan semakin terbuka luas. Bagai bermimpi, satu persatu tawaran hadir.

“Kini saya terikat dengan penggambaran drama Perfect Wife sehingga Mac tahun hadapan.

“Kemudian saya akan masuk set penggambaran filem Ragging pula. Sejujurnya sangat teruja kerana ini merupakan filem pertama saya,” katanya yang kali pertama mencuba nasib sebagai pelakon menerusi drama Hani Minta Maaf di samping Anna Jobling dan Hun Haqeem tahun lalu.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya lakonan dan penciptaan kandungan, Mun mengakui pada mulanya agak mencabar kerana terkejar-kejar.

“Perbezaan paling ketara daripada segi masa. Berlakon terikat dengan jadual, manakala penciptaan kandungan pula ikut waktu kita sendiri.

Jika saya terikat dengan jadual penggambaran yang panjang, saya akan siapkan kandungan untuk ‘client’ dan media sosial saya terlebih dahulu.

“Saya bersyukur kerana sahabat-sahabat saya sangat memahami dan mereka menyokong pembabitan saya dalam bidang lakonan. Kadang-kadang kalau ada masa, saya akan buat konten di set penggambaran,” kongsinya.

Jual muka

Dianugerahkan rupa paras tampan dan tubuh kekar, jejaka berketurunan Melanau itu menangkis dakwaan segelintir pihak dia hanya mempertaruhkan penampilan luaran.

Menurutnya, apa yang perlu diberi perhatian adalah bakat, manakala rupa pula sekadar bonus.

“Saya tidak nafikan rupa paras dan bentuk tubuh mempunyai nilai tersendiri terutama buat mereka yang mahu bergelar selebriti.

Begitupun saya tidak mahu masuk dalam industri ini dengan tangan kosong dan bersandarkan rupa semata-mata.

“Tujuan saya menceburi bidang lakonan untuk belajar selok-belok dunia lakonan sebenar. Sebelum ini saya buat sendiri semuanya, daripada menulis skrip, mengarah, berlakon dan mengendalikan kamera untuk setiap kandungan” jelasnya.

WAJAHNYA sering disamakan dengan penyanyi terkenal dari Indonesia, Afgan.

Adat bergelar insan terkenal, anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui tidak terlepas menjadi buruan golongan yang berminat menjadikannya peneman di ranjang.

“Ada yang sanggup tawarkan bayaran RM100,000. Terbaharu, saya terima tawaran RM50,000. Tawaran-tawaran tersebut hadir menerusi aplikasi Telegram tetapi saya tidak layan.

Saya rasa mereka scammer. Mana mungkin ada yang sanggup melabur RM100,000 hanya kerana mahu mendampingi lelaki seperti saya.

“Saya masih mempunyai harga diri. Bukan itu tujuan saya terbang jauh dari kampung halaman untuk menetap di Semenanjung. Saya mahu mencari rezeki halal dengan titik peluh saya sendiri,” ujarnya.

Putus cinta demi kerjaya

Tampan, popular dan digilai ramai gadis, mana mungkin jejaka sepertinya hidup solo tanpa kehadiran kekasih yang bertakhta di hati.

Mengulas perkara itu, Mun berkata, dia memilih untuk tidak bercinta dengan mana-mana wanita buat masa ini.

“Bohonglah kalau saya tak pernah bercinta. Sejujurnya saya pernah menjalin hubungan dengan seorang gadis sebelum ambil keputusan untuk serius mengembangkan kerjaya seni.

Saya terpaksa berkorban kerana tahu jika mahu berjaya dalam bidang lakonan saya tidak boleh terikat dengan komitmen lain.

“Memang berat untuk melepaskan hubungan yang telah terjalin lebih setahun setengah, apatah lagi kami berpisah pada saat masing-masing masih ada rasa sayang. Tetapi inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan demi masa depan,” kongsinya.

Sedar perlu ada punca pendapatan lain selain lakonan dan penciptaan kandungan, Mun tidak ketinggalan berkongsi impiannya untuk memiliki perniagaan sendiri sebelum mencecah usia 30 tahun.

“Bidang glamor tidak selamanya menjamin masa depan. Kita tak tahu apa yang berlaku pada hari mendatang dan disebabkan itu saya merancang ada beberapa perniagaan khususnya di Mukah.

Mungkin saya akan mulakan dengan perniagaan dobi layan diri. Di Mukah, fasilitinya belum secanggih di sini. Kalau boleh saya mahu menabur bakti di tempat kelahiran saya.

“Saya mahu menjadi insan yang berguna dan mampu berkongsi rezeki dengan orang lain

“Apabila ada perniagaan, secara tidak langsung saya boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dan memerlukan,” katanya yang pernah menjual burger di kampung halamannya sebelum menyambung pelajaran di universiti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok