DALAM misi mengejar gelaran pelakon versatil, pelakon Erysha Emyra sangat menitikberatkan perihal imej untuk setiap watak yang dipegangnya.
Perkara tersebut dilakukannya sejak bergelar anak seni dan merasakan perubahan imej adalah penting kerana membantu menghidupkan lagi karakter dijayakan.
Dia bahkan mengakui tidak kisah berbelanja lebih untuk mendapatkan khidmat penata gaya peribadi bagi mencari kelainan untuk setiap drama.
Seperti sudah menjadi kewajipan, dia turut melakukan perkara sama menerusi watak Mia dalam drama Viu Original berjudul Satu, Dua…Dia? arahan Datuk Yusry Abdul Halim.
“Watak kali ini menarik sebab saya dapat teroka macam-macam benda baru termasuk cuba pelbagai jenis fesyen yang adakalanya ekstravaganza.
“Kalau nak tahu, saya suka pakai busana yang sangat ‘fashionable’ tetapi segan nak pakai begitu bila di luar.
“Jadi, bila dapat pakai dalam drama ini, saya sangat seronok sebab setiap hari gayakan baju macam-macam warna dan fesyen.
“Secara tak langsung, saya dapat teroka tentang fesyen dalam lakonan yang sukar untuk dilakukan di luar set penggambaran,” kata pemilik kepada nama penuh Nur Erysha Emyra Zakaria itu.

KEBANYAKAN kostum dan pakaian yang digayakan dalam Satu, Dua…Dia? adalah milik Erysha dan hasil selongkar almari sendiri.
Berkongsi tentang bajet yang dikeluarkan untuk khidmat penata gaya, dia berkata kos mencecah ribuan ringgit.
“Saya tidak lakukan seorang diri tetapi ada penata gaya yang bantu sediakan baju setiap hari.
Contoh kami selongkar almari baju di rumah dan ‘mix and match’ apa yang ada. Memang 95 peratus adalah baju saya sendiri,” jelasnya.
Katanya, perkara tersebut adalah penting dan dilakukannya untuk semua drama kerana mahu nampak berbeza bagi setiap watak.
“Saya berhijab, fesyen pun agak terbatas dan memang akan nampak sama dalam semua cerita kalau tak cipta sendiri kelainan.
Saya tak boleh macam nak warna rambut atau sebagainya, jadi saya berbelanja lebih untuk baju.
“Tak kisah keluarkan belanja sendiri sebab tidak merugikan pun. Akhirnya semua baju itu boleh diguna pakai semula,” katanya yang popular menerusi drama Aku Bukan Ustazah.
Erysha bagaimanapun menegaskan inisiatif tersebut tidak perlu menjadi kewajipan untuk setiap pelakon tetapi lebih kepada untuk mendapat kepuasan sendiri.
“Memang sukar jika mahu terlalu mencipta kelainan tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.
Bukan sahaja perlu mengejar karakter berbeza tetapi penampilan juga antara yang boleh membuatkan orang ramai berminat untuk menonton lakonan kita.
“Namun, semua itu terpulang kepada setiap pelakon. Masing-masing mempunyai cara berbeza,” tuturnya yang juga anak kepada pelakon senior, Noniswara itu.
Kecoh setiap hari
Menerusi drama Satu, Dua…Dia?, Erysha berkata watak dipegangnya lari daripada karakter air mata yang sering dilakukan sebelum ini.

Ujarnya, cabaran utama sebagai Mia ialah perlu menjadi seorang gadis yang penuh energi, ‘cheeky’ dan periang.
“Watak ini sangat kebudak-budakan berbanding yang pernah saya lakukan sebelum ini.
“Selalunya pegang watak-watak yang agak matang tetapi kali ini lebih segar.
Namun, tidaklah begitu sukar cuma perlu sentiasa pastikan diri saya dalam keadaan sangat bertenaga berbanding watak sebelum ini yang selalu sedih, lemah lembut dan tenang,” kongsinya.
Menerusi drama tersebut, dia digandingkan dengan dengan beberapa pelakon lelaki yang boleh dikatakan masih hijau dalam dunia lakonan seperti Zarif Ghazzi, Ariel Fesol, Rizal Rasid dan Afiq Hamidon.
Katanya, Satu, Dua…Dia? menjadi naskhah pertama yang menggandingkannya dengan empat pelakon berkenaan.
“Tidak sukar pun nak cari keserasian dengan mereka sebab kami umur sebaya.
Bekerja dengan mereka seronok, memang kecoh setiap hari di lokasi penggambaran dan kami saling membantu.
“Harap naskhah ini akan mendapat tempat dalam hati pencinta drama tempatan,” ujarnya lagi.
Satu, Dua…Dia? yang mempunyai 15 episod sudah memulakan tayangan dalam platform Viu, semalam. – HIBGLAM
