‘Hati-hati berkata-kata, Uqasha yang saya kenal tak pandang harta’

PALAKON dan usahawan, Betty Rahmad tampil mempertahankan sahabatnya, Uqasha Senrose selepas aktres itu menjadi bahan kecaman susulan kemelut rumah tangga bersama suaminya, Kamal Adli.

Ujar Betty atau nama sebenarnya Norsha Rahmad, 45, Uqasha bukan wanita materialistik seperti dituduh segelintir pihak, sebaliknya seorang yang gigih mencari rezeki hasil titik peluh sendiri.

“Uqasha yang saya kenali bukan jenis perempuan yang pandang harta benda. Dia rajin, sanggup turun padang berniaga, buka booth ke sana sini untuk cari rezeki.

“Korang tak kenal dia, apatah lagi pernah bersembang. Jadi, berhati-hatilah dalam menulis dan berkata-kata. Semoga Allah permudahkan urusan Sha,” katanya dalam Threads.

Bagaimanapun, hantaran adik kepada pelakon dan pengarah tersohor Erma Fatima itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang menasihatkannya agar tidak mencampuri urusan rumah tangga orang lain.

Enggan berdiam diri, Betty menegaskan niatnya bukan untuk mencari perhatian sebaliknya mahu menepis tanggapan salah yang tersebar dalam media sosial.

Saya bersuara sebab baca ramai yang menuduh dia nak cerai sebab tak ada ‘life’ dan sebab suami tak kaya macam adik-beradik lain.

“Susah betul sekarang, kena cakap benda buruk baru orang suka. Kalau cakap perkara baik, terus kena hentam. Tak mengapa, ikut suka kalianlah,” ujarnya.

Semalam, dunia hiburan kembali kecoh apabila pelakon Uqasha Senrose hadir ke prosiding pertama kes perceraian dengan Kamal Adli di Mahkamah Syariah namun terpaksa ditangguhkan ke 28 Oktober depan selepas aktor itu tidak hadir.

Menurut peguam syarie mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd. Manaf, pelakon itu memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan difahamkan mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak beberapa bulan lalu.

Rumah tangga mereka mula menjadi bualan selepas Uqasha beberapa kali membuat siaran langsung meluahkan rasa penat menjaga anak sambil bekerja, manakala Kamal pula menegaskan dirinya tidak pernah mengabaikan keluarga serta tetap menyayangi isteri dan anak perempuan mereka, Hawra Uqaira.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok