‘Takkan letak CCTV di seluruh sekolah, kamera di kepala anak’

PELAKON Keith Foo bimbang terhadap peningkatan kes sosial melibatkan pelajar sekolah, sekali gus menyeru ibu bapa agar tidak lepas tangan dalam memantau tingkah laku anak-anak.

Sebagai seorang bapa, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chi, 42, percaya keperibadian seseorang terbentuk sejak kecil dan bermula daripada rumah.

“Kesedaran tentang hal ini bermula dari rumah dan sekolah.

“Sebagai ibu bapa, kita kena mainkan peranan yang paling penting. Kena ambil tahu segenap aspek.

“Kita kena tahu jadual anak, dari waktu ke sekolah sampai masa dia pulang. Jangan biar mereka hanyut tanpa pantauan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelakon drama Jika Cinta Itu Buta itu, hubungan dua hala antara pihak sekolah dan ibu bapa penting bagi memastikan keselamatan serta moral pelajar terjaga.

“Jika pihak sekolah longgar dalam soal keselamatan pelajar, itu juga perlu disemak semula. Ibu bapa dan guru perlu saling bekerjasama.

“Takkan kita nak letak CCTV di seluruh sekolah, atau kamera di kepala anak? Mustahil.

“Tapi kita boleh elak perkara tak diingini jika saling berhubung dan mengambil tahu,” ujarnya ketika ditemui selepas rakaman program MeleTOP di sini, malam tadi.

Duda satu anak itu juga menolak tanggapan bahawa dunia hiburan menjadi punca kepada kemerosotan moral generasi muda selain menegaskan bahawa peranan sebenar bermula dari dalam rumah.

“Kita tak boleh terus menuding jari kepada industri seni. Anak-anak sekarang mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh di internet, satu klik saja dah macam-macam keluar.

“Kalau nak cegah, kena mula dari rumah. Kawal penggunaan gajet, pantau apa yang mereka tonton. Jangan tunggu dah terlambat baru menyesal,” ujarnya.

Terdahulu, isu sosial dalam kalangan pelajar kembali menjadi bualan hangat apabila beberapa kes jenayah melibatkan remaja mengejutkan masyarakat.

Antaranya, kes seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam pelajar lelaki berumur 14 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, selain kes kanak-kanak 12 tahun dilapor menjual tubuh menerusi aplikasi WhatsApp.

Tragedi lain yang turut mengundang simpati melibatkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di Alor Gajah yang mengalami trauma selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir oleh dua pelajar senior.

Untuk rekod, Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan model dan usahawan Kim Raymond pada November 2015, namun bercerai pada Disember 2019.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar Raymond Foo, kini berusia lapan tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok