Saya tak nak cakap apa-apa, jumpa saja di mahkamah – Uqasha

“TAK nak cakap apa-apa, jumpa saja di mahkamah.”

Demikian kata pelakon Uqasha Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen berulang kali ketika diajukan soalan tentang kesahihan berita dia dikatakan sudah memfailkan cerai terhadap suaminya, Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Buat masa sekarang, pelakon yang terkenal dengan drama Tundukkan Playboy Itu enggan memberikan sebarang komen lanjut berkenaan hal terbabit.

“Saya tidak mengiyakan atau menidakkan perkara terbabit,” katanya ringkas kepada Kosmo! sebelum meletakkan panggilan telefon ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, sebuah akhbar arus perdana melaporkan Uqasha, 33, sudah memfailkan cerai terhadap Kamal Adli, 39, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Rumah tangga pasangan itu dikatakan sudah bergolak sejak April lalu namun bukan disebabkan oleh pihak orang ketiga.

Bagaimanapun, mereka sudah tidak tinggal sebumbung memandangkan Uqasha kini menetap di rumah ibunya.

Terdahulu, beberapa hantaran berupa luahan hati  Uqasha mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang mengaitkan hantaran tersebut dengan situasi rumah tangga yang mungkin sedang bergolak.

Walau bagaimanapun, Uqasha memilih mengunci mulut ketika ditemui media di program MeleTOP malam tadi.

Difahamkan, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, dijangka hadir ke mahkamah hari ini bagi menghadiri prosiding sebutan pertama kes perceraiannya hari ini.

Uqasha Senrose dan Kamal Adli sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok