PENYANYI dan pelakon Nabila Razali menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang gemar serkap jarang atas kandungan dikongsikan dalam media sosial meskipun hantaran tersebut bersifat positif dan bertujuan menyebarkan kebaikan.
Ujar Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 33, masyarakat sepatutnya lebih berlapang dada dan tidak mudah menilai niat seseorang setiap kali melihat individu lain melakukan kebaikan secara terbuka.
“Saya faham kalau seseorang buat salah, memang wajar ditegur atau dikritik. Tapi bila orang buat baik, kongsi benda positif pun tetap nak dikecam.
“Susah sangat ke nak tengok orang lain buat baik tanpa rasa iri hati?
“Kadang-kadang orang tu betul-betul ikhlas, cuma hati kita sendiri yang tak tenang sampai nampak semua tu macam menunjuk,” katanya dalam Instagram, susulan ciapannya di Threads dihujani caci maki netizen.
Enggan mengeruhkan keadaan, pelantun Peluang Kedua itu menegaskan hantarannya dalam platform tersebut sebelum ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu tertentu, sebaliknya sekadar pandangan umum.
“Saya cuma kongsi pendapat secara umum, bukan untuk menyindir sesiapa. Tapi entah kenapa ramai yang tersalah tafsir dan mula tinggalkan komen bukan-bukan.
“Masalah sebenar bukan pada orang yang buat baik, tapi pada hati sendiri. Kalau masih nak cari salah orang lain, teruskanlah, mungkin itu cara nak rasa diri lebih baik,” ujarnya.
Tambah ibu satu anak itu, dia pelik apabila masih wujud individu yang lebih gemar mengkritik berbanding menghargai kebaikan dilakukan orang lain.
“Kadang-kadang orang yang buat baik tu betul-betul ikhlas, tak ada niat pun nak menunjuk. Tapi sebab hati kita gelap dengan prasangka, semua benda nampak palsu.
“Sebenarnya bukan orang tu yang salah, tapi kita yang gagal melihat sesuatu dengan mata hati.
“Kalau masih nak terus cari silap orang lain, terpulanglah, tapi jangan lupa, mungkin orang yang dikutuk tu sedang doakan yang baik-baik untuk kita,” luahnya.
Sebelum ini, Nabila mencetus perhatian selepas memuat naik satu hantaran dalam Threads menyatakan tidak perlu berbuat baik hanya untuk meraih nama atau pujian.
Namun hantarannya mencetuskan polemik apabila segelintir netizen menyalah tafsir kenyataan tersebut hingga menuduhnya menyindir rakan artis lain. – HIBGLAM