TINDAKAN pelakon Uqasha Senrose membangkitkan isu mengenai kekeliruan tarikh dan waktu pernikahannya dengan Kamal Adli dalam Instagram hari ini mengundang pelbagai reaksi netizen.
Tampil mempertahankan diri dalam ruangan komen, Uqasha berkata, perkongsian tersebut dilakukan selepas mendapat nasihat pihak peguamnya hari ini selain mendakwa tidak mengetahui ada majlis nikah berbeza pada tarikh 4 November 2021.
“Tidak mengapa,semua yang saya lakukan ketika ini adalah atas bimbingan peguam.
Saya tidak tahu sudah dinikahkan dan ada majlis sebelum tarikh sebenar iaitu 5 November di Janda Baik, Pahang.
“Tapi, saya tidak tahu saya dinikahkan 4 November pada 9.30 malam, jurunikah dan tempat berbeza. Kenapa rahsiakan daripada saya?” kongsinya membalas komen netizen.
Rata-rata berpendapat Uqasha, 33, tidak sepatutnya memuat naik isu tersebut dalam media sosial dan seharusnya diselesaikan sesama keluarga dan pejabat agama sahaja.
Dia juga sempat membidas komen netizen yang melabelnya sebagai tidak matang dan membuka aib suami kepada umum.
“Ya Allah sebar aib? Saya ini teraniaya, macam-macam benda lain kalau saya nak sebar tetapi ini saya baru dapat tahu.
Satu hari nanti, awak kena dengan lelaki yang dianggap syurga tapi…, kemudian awak akan datang pada saya. Sekadar peringatan daripada wanita,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut memaklumkan Kamal tidak pernah menuntut sijil dan kad perakuan nikah mereka meski sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.
Bila fail cerai baru saya tahu sijil nikah pun dia tak ambil pun lagi di pejabat agama.
“Kad kahwin pun dia tak buat sampai sekarang,” ujarnya lagi.

TANGKAP layar Uqasha tampil membela diri dan menjawab pertanyaan netizen.
Hari ini, Uqasha mengejutkan ramai apabila hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur untuk prosiding pertama kes perceraian.
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini menetapkan tarikh 28 Oktober bagi prosiding kedua bagi perceraian pasangan selebriti Uqasha dan Kamal.
Bagaimanapun, Kamal tidak hadir ke mahkamah yang difahamkan dengan alasan sibuk menjalani penggambaran.
Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas tersebar spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka di ambang kehancuran pada April lalu.
Untuk rekod, pasangan ini telah bernikah pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira. – HIBGLAM