PELAKON dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana mendedahkan menerima pelbagai ugutan dan cubaan mengesan lokasinya selepas pulang daripada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, baru-baru ini.
Ujar Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, ada individu tidak dikenali sanggup menawarkan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada pengurusnya semata-mata untuk mengetahui lokasi dia berada.
“Ada yang sampai telefon pengurus saya dan marah-marah, mendesak supaya beritahu di mana saya berada.
Sampai tawarkan RM5,000 hanya untuk tahu lokasi saya.
“Tapi saya tak kisah sangat. Saya tak takut pun dengan ugutan seperti itu,” katanya dalam TikTok.
Tambah ibu dua anak itu, segala bentuk kecaman mahupun ugutan yang dihamburkan kepadanya kini tidak lagi menjadi kudis sebaliknya menganggap semua itu sebagai ujian kecil selepas pulang daripada misi kemanusiaan berisiko tinggi.
“Orang nak kecam, kecamlah. Dah tak beri apa-apa kesan pun untuk saya. Sekarang ini saya masih lalui beberapa ujian hidup.
Tapi saya tertanya-tanya juga, berapa ramai yang dibayar semata-mata untuk tahu lokasi saya? Sampai begitu sekali tahapnya.
“Kalau nak jumpa, saya bukan lari atau sembunyi. Dekat mana-mana pun boleh saja jumpa,” ujarnya.
Paling penting kata isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu, dia bersyukur kerana masih menerima sokongan kuat daripada peminat serta masyarakat yang mendoakan keselamatan dan ketabahannya.
Terdahulu, Nadzmi mendedahkan bahawa keluarganya kini diperhatikan oleh pihak tertentu yang dipercayai tali barut Israel di Malaysia, susulan penyertaan Ardell dalam misi kemanusiaan tersebut.
Untuk rekod, Ardell antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia menyertai misi GSF bagi menghantar bantuan ke Gaza.
Namun, misi itu tidak kesampaian apabila bot mereka dipintas tentera rejim Zionis sebelum semua aktivis ditahan sementara dan akhirnya dibebaskan.
Kesemua peserta selamat tiba di tanah air pada 6 Oktober lalu. – HIBGLAM