SPEKULASI mengenai keretakan rumah tangga pasangan selebriti Uqasha Senrose dan Kamal Adli terus menjadi teka-teki apabila aktres itu memilih untuk berdiam diri walaupun diasak pertanyaan media.
Ketika ditemui pada program MeleTOP malam tadi, Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen tampil anggun dengan busana kuning cair, namun kelibatnya hanya sekilas sebelum mengelak bertemu wakil media yang menanti di luar studio.
Bagaimanapun, pelakon filem Munajjim: Sekutu Iblis itu hanya memberikan jawapan ringkas apabila diminta mengulas mengenai keadaannya kini.
“Saya okey sahaja. Cuma tak mahu ditemu bual sebab sedang sakit tekak,” katanya kepada HibGlam.
Sebelum ini, timbul pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen kononnya hubungan pasangan popular itu berada di hujung tanduk.
Tindakan itu sekali lagi mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat selepas rumah tangganya dengan Kamal dikatakan bergolak sejak kedua-duanya dilihat saling tidak lagi mengikuti (unfollow) akaun Instagram masing-masing.
Pun begitu, Kamal tampil menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan keadaan mereka baik-baik sahaja.
Bagaimanapun, desas-desus kembali hangat selepas Uqasha memuat naik hantaran di Instagram Story memaparkan dirinya bersama puteri sulung mereka, Hawra Uqaira yang tidak sihat akibat batuk dan demam.
Perkongsian itu seolah-olah memberi gambaran dirinya kini menguruskan anak seorang diri.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lebih. – HIBGLAM