‘Harap Abang Dee masih ada, dapat tengok saya buat konsert’

DALAM pada dirinya diberikan kesempatan dan rezeki untuk terus mewarnai industri seni tanah air terutama mengadakan konsert mega, penyanyi Misha Omar terkenang akan jasa mentor dan rakan seperjuangan yang sudah dijemput Ilahi.

Merupakan anak didik komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan sezaman dengan rakan seperjuangan seperti Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, pernah terlintas di fikirannya andai kedua-dua figura itu masih ada bersama lagi bersamanya hari ini.

Alangkah seronoknya kalau mereka semua masih ada di sini bersama kita untuk menyaksikan kemanisan terus berjuang mengadakan konsert.

“Sudah tentu, saya harap Abang Dee  (Adnan Abu Hassan) masih ada dan tengok saya. Saya bintang yang beliau garap sewaktu saya masih ‘hijau’, dibesarkan dan diberikan lagu-lagu sehingga menjadikan versi saya yang hari ini.

“Juga arwah Siti Sarah. Nama yang dulunya duduk sebelah-sebelah. Dulu kalau bersiap, parking kereta kalau saya ada, dia pun ada bersebelahan.

“Apapun, semangat mereka sentiasa ada bersama saya tidak kira apapun. Macam tempoh hari, saya tengok anak Siti Sarah (Thalita) buat persembahan dan menjurikannya buat saya ingin teruskan kemanisan dan terus berjuang dengan semangatnya,” katanya kepada Kosmo! Online pada sesi bersama media untuk konsert DiA Misha Omar di sini, hari ini.

23 tahun menelusuri dunia nyanyian, Misha atau nama sebenarnya, bersyukur nyanyian serta muziknya masih diterima dan kasih sayang daripada peminat terus disemai indah.

Untuk itu, selagi nyawa di kandung badan, pelantun lagu Bunga Bunga Cinta itu berjanji akan terus menghiburkan para peminat yang sentiasa berada di belakangnya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Kasih sayang orang terhadap saya amat saya hargai. Saya bersyukur masih dapat berdiri dan menyanyi untuk mereka yang sentiasa menyokong.

“Masih boleh nyanyi lagu, pitch, tarikan dan interaksi  antara saya dan para peminat, itu saya sangat raikan. Saya akan meneruskan semangat kawan-kawan yang sudah tiada,” katanya lagi.

Misha bakal menggegarkan Mega Star Arena Kuala Lumpur menerusi konsert DiA Misha Omar pada 29 November 2025 anjuran Double M Productions dan Altus Prohouse.

Tiket berharga antara RM288 hingga RM1,200 boleh ditempah menerusi https://jiotix.asia/events/dia-misha-omar atau WhatsApp kepada 01116601122. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok