Krisdayanti luar biasa, raih perak acara kungfu dunia

PENYANYI popular Indonesia Krisdayanti melakar sejarah terbaharu sendiri selepas memenangi pingat perak dalam acara Women’s Single Weapon Routines di Kejohanan Dunia Kungfu ke-10 yang berlangsung di Emeishan, China semalam.

Berita gembira itu dikongsi sendiri Krisdayanti, 51, yang mewakili Indonesia selain bangga menunjukkan pingat perak dan sijil dimenanginya ketika berdiri di atas podium selepas pertandingan tersebut.

“Berjaya menduduki tempat kedua dalam acara Women’s Single Weapon Routines.

“Terima kasih atas sokongan,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 20 Oktober itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara, termasuk Indonesia, bagi memperlihatkan kehebatan dalam seni mempertahankan diri tradisional China.

Kejayaan membanggakan tersebut meraih perhatian ramai sekali gus dibanjiri ucapan tahniah daripada peminat dan rakan artis

“Ini luar biasa Krisdayanti! Tahniah.

“Indonesia bangga dengan Krisdayanti!” komen netizen.

Difahamkan, nenek kepada dua cucu itu sudah berjinak dengan serius dalam sukan wushu sejak empat tahun lalu dan kategori disertainya adalah seni bela diri wushu menggunakan kipas sebagai senjata utama.

Kejohanan Dunia Kungfu anjuran Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) merupakan platform berprestij yang menghimpunkan atlet kungfu dari seluruh dunia bagi mempamerkan kemahiran dalam pelbagai kategori termasuk senjata, tangan kosong dan rutin tradisional. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok