‘Semoga yang boikot itu diberikan hidaya, petunjuk’

PELAKON Fattah Amin mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang memulakan gerakan memboikot beberapa selebriti yang hadir ke majlis perkahwinannya dengan penyanyi Amira Othman baru-baru ini.

Menurut Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana dia hanya mahu meraikan setiap tetamu yang hadir pada hari bahagianya.

“Saya tak fahamlah benda itu. Mereka (rakan selebriti) nak menghadiri majlis kahwin dan mengeratkan silaturrahim namun, ada pula nak boikot.

“Cuma yang saya boleh cakap ialah jangan buat begitu sebab kita semua nak hidup tenang dan baik-baik sahaja.

“Jadi, apa salahnya nak menghadiri majlis kahwin? Bukannya dia sokong Israel. Kalau itu, memamg perlu boikot,” katanya kepada HibGlam pada majlis minum petang The Garden Of Love Fattmira anjuran Usanita TV (UTV) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada dirinya terkesan dengan perkara tersebut, Fattah berkata, perkara itu lebih dirasai mereka yang diboikot oleh segelintir pihak dalam media sosial.

“Saya tidak begitu terkesan sebab tidak berlaku pda saya tetapi mangsa boikot itu.

“Jadi, saya doakan supaya orang yang nak boikot itu diberikan petunjuk dan hidayah untuk berubah,” katanya lagi.

Sementara Amira, 31, pula berpendapat perkara sebegitu termasuk diboikot adalah normal untuk dihadapi oleh mana-mana anak seni.

“Saya dengan Fattah nak hidup tenang dan rasa semua itu adat jadi anak seni. Biasalah, netizen ada macam-macam ragam tapi tak mengapalah.

“Benda begini kita tak boleh nak hentikan orang tak suka dan sebaliknya.

“Isu tersebut terlalu kecil untuk kami ambil hati dan marah. Pada saya, semua ada pilihan masing-masing cuma tak nampak atas dasar apa untuk diboikot.

“Apa pun, saya tetap doakan mereka diberikan ketenangan dan tidak ada rasa ‘sakit’ melihat orang lain gembira,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia tetap positif selain berpendapat semua pihak bebas untuk menyokong selebriti yang mereka minati.

“Saya harap kalian semua baik-baik sahaja dan sokong sahajalah mana-mana pun.

“Kalau tengok orang pergi kenduri, sedang gembira, doakan mudah-mudahan kita pun dapat kegembiraan itu.

“Kalau ada yang tak suka, kami doakan mudah-mudahan sukalah selepas ini,” tuturnya.

Terdahulu, tular mengenai segelintir netizen yang melakukan gerakan memboikot beberapa selebriti yang hadir ke majlis pernikahan Fattah dan Amira pada 14 September lalu di sebuah resort di Sepang.

Antara yang disebut mahu diboikot ialah Ernie Zakri, Anzalna dan Nabila Razali. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok