Qifarah merobek jiwa, bikin insaf

DALAM longgokan filem seram tempatan yang sering bermain dengan formula sama, Qifarah hadir sebagai naskhah yang berani dan berbeza.

Arahan Ghaz Abu Bakar, yang sebelum ini sinonim dengan karya aksi seperti Polis Evo dan Tombiruo, kini menelusuri dunia gelap spiritual dan dosa manusia dengan pendekatan lebih matang.

Dari babak pertama, Qifarah sudah memberi isyarat bahawa bukan sekadar kisah hantu – adalah perjalanan menebus silap dan melawan bayangan masa lalu yang enggan mati.

Ghaz Abu Bakar menunjukkan kematangan pengarahan yang jarang ditemui dalam genre ini. Visualnya muram, sinematografinya kemas, dan pencahayaan redup berbalut asap menjadikan setiap babak terasa berat dan menekan.

REMY berjaya melunaskan karakter utama dalam Qifarah dengan cemerlang.

Tiada babak seram yang dibuat secara murahan; setiap detik menakutkan lahir daripada emosi, bukan efek bunyi atau bayang hantu melintas. Atmosferanya pekat dan realistik – seperti membawa penonton masuk ke dalam jiwa Yusoff yang kian dirasuk rasa bersalah.

Filem ini juga bijak bermain dengan simbolisme; cermin, darah, dan ritual menjadi bahasa visual kepada konflik batin watak-wataknya.

Dari segi lakonan, Datuk Remy Ishak benar-benar menghidupkan Yusoff dengan kehalusan ekspresi. Dia tidak perlu menjerit atau meraung untuk menunjukkan kesakitan batin – cukup dengan mata yang kosong dan nafas yang berat.

Begitu juga cerminan kualiti lakonan barisan pelakon lain terlibat seperti Sharifah Sakinah, Namron, Vanida Imran dan Esma Daniel.

Kendatipun, Qifarah tidak terlepas daripada kelemahan. Beberapa bahagian pertengahan terasa perlahan dan terlalu banyak bermain dengan mood hingga menjejaskan momentum cerita. Ada juga babak yang seperti cuba menjadi simbolik tetapi berakhir dengan kekeliruan.

Apapun, Qifarah bukan sekadar bayangan sinematik menakutkan, namun sebuah karya menyentap jiwa menghadirkan keinsafan. Satu produk tempatan yang wajar diberikan peluang ‘bernadi’ terus di pawagam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok