‘Berhenti fitnah, perceraian mereka tiada kaitan dengan mama saya’

Ibu dituduh punca perceraian penyanyi Nubhan, anak kepada wanita terbabit yang juga pelakon Syamim Razi membuat laporan di ibu pejabat Polis Shah Alam, Selangor bagi membersihkan nama keluarga.

Syamim atau nama sebenarnya, Muhammad Syamim Shaiful Razi, 22, menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyebarkan serta memanipulasi foto peribadi yang mencetuskan fitnah.

Segala gambar yang tular dicuri dari simpanan peribadi dalam media sosial saya dan telefon individu lain tanpa kebenaran. Gambar itu diambil beramai-ramai dalam situasi biasa, namun disalah guna dan dijadikan bahan fitnah seolah-olah menunjukkan mama saya punca penceraian Nubhan dan Dr. Fie (Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek).

“Saya ingin menjelaskan dengan tegas penceraian mereka langsung tiada kaitan dengan mama saya. Hubungan kami dengan kedua-dua pihak juga tidak berubah kerana tiada apa yang perlu disorokkan.

“Saya beri amaran keras kepada mana-mana individu yang masih menyebarkan gambar, cerita palsu atau membuat andaian, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Kakak kepada pelakon, Syamim menunjukkan laporan polis membabitkan fitnah terhadap ibu mereka.

Menurut penuntut sebuah pusat pengajian tinggi itu, persahabatan keluarganya dengan Nubhan juga usahawan masih kekal, sekali gus tiada sebab untuk mereka menyembunyikan status sebagai kenalan.

“Selepas ini, jika terlihat kami bersama Nubhan sekalipun, jangan jadikan perkara itu sebagai fitnah baru. Kami masih mempunyai hubungan baik atas dasar kemanusiaan dan persahabatan, bukan kerana apa-apa yang disembunyikan, tetapi kerana kami tahu kebenaran,” ujarnya.

Pada hantaran sama, pelakon telefilem Dari Kekasih Kepada Kekasih itu meminta mana-mana pihak agar jangan lagi mengganggu ibunya mahupun membuat tuduhan melulu.

“Kami tidak akan membuka mulut mengenai sebab sebenar perpisahan mereka. Jadi, hentikan gangguan terhadap mama saya melalui panggilan, mesej atau cubaan mendapatkan cerita.

Mama saya bukan orang yang sesuai untuk bagi kenyataan dan kami tidak akan mengaibkan sesiapa. Kepada netizen, berhentilah meneka, menuduh dan menulis komen seolah-olah anda paling tahu segalanya.

“Tolong hentikan perbuatan buli siber dan fitnah maya. Kesan kata-kata palsu dan tuduhan tidak berasas boleh memusnahkan maruah dan ketenangan orang lain,” katanya.

Syamim yang berkecimpung di arena lakonan sejak berusia enam tahun turut meminta netizen memberi ruang kepada Nubhan serta isterinya menyelesaikan masalah dengan cara mereka sendiri.

Terdahulu, kes permohonan pengesahan perceraian difailkan Nubhan terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mengejutkan ramai, apatah lagi penyanyi terbabit pernah menceraikan doktor gigi itu pertama kali pada 2017 iaitu ketika hamil anak pertama.

Hanya memaklumkan tiada persefahaman, timbul pula spekulasi adanya pihak ketiga namun disangkal penyanyi terbabit ketika ditemui media selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu.

Selepas itu tersebar pula beberapa gambar beramai-ramai Nubhan serta isterinya bersama beberapa individu termasuk seorang wanita yang dituduh intim dengan bapa kepada tiga anak itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok