PERNAH melalui pengalaman sama, penyanyi dan usahawan Azza Elite mengakui hatinya terkesan melihat rumah tangga beberapa sahabatnya berakhir dengan perceraian.
Azza atau nama sebenar Noor Azzarima Zawari, 48, berkata pengalaman berpisah dengan bekas pasangan adalah satu ujian hidup sehingga dia pernah menganggap dirinya masih bersuami sedangkan sudah bercerai.
“Sedih dan sebak membaca tentang sahabat-sahabat yang diuji dengan perceraian. Saya pernah melaluinya.
“Kalian tahu tak, pada hari perceraian, saya membancuh kopi tetapi tidak diminum.
“Bila ditanya untuk siapa, saya cakap untuk suami sedangkan ketika itu saya sudah bercerai. Naik atas melalak macam nak rak,” katanya dalam platform Threads.
Tiada siapa yang mahukan perpisahan, Azza berkata, kegagalan perkahwinan pertama banyak mengajarnya untuk menjadi isteri yang lebih baik.
“Sesal, itu kisah cerai saya. Tiada manusia pun nak berkahwin dan melalui perceraian.
“Bila berkahwin kali kedua selepas enam tahun hidup solo, saya berazam menjadi isteri yang baik,” katanya lagi.
Terdahulu, Azza menamatkan zaman janda selepas sah bergelar isteri kepada Azlan Zulaily pada April 2012.
Sebelum itu, dia pernah berkahwin dengan Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 14 Februari 2001 di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan berpisah pada tahun 2005.
Hasil perkahwinan itu mereka tidak mendapat cahayamata tetapi memiliki seorang anak angkat iaitu Marissa Janna. – HIBGLAM