TERKESAN kematian seorang pendaki di Gunung Liang, pelakon Azhan Rani mendedahkan pernah ditinggalkan pemandu arah sehingga nyaris tersesat ketika mendaki Gunung Tahan satu ketika dahulu.
Kata pemilik nama lengkap Azhan Abd. Rani, 49, dia dibiarkan menyusuri laluan ke bersendirian dalam keadaan hujan lebat tanpa dipedulikan malim gunung yang sudah tiba lebih awal di kem.
“Kematian seorang pendaki membuatkan saya teringat tragedi Gunung Tahan dulu waktu malam dalam hujan lebat bila ‘guide’ tinggalkan kita dari summit ke Kem Berlumut.
“Saya hampir sesat redah trek dalam hujan. Dia dah lepak sedap kat kem. Kita sampai kem 10 malam basah lecun sejuk dengan khemah yang hampir nak roboh yang dia tak peduli pun,” katanya dalam hantaran di Threads.
Berikutan situasi kurang menyenangkan dan membahayakan, pelakon filem Lelaki Harapan Dunia itu membatalkan hasrat meneruskan cabaran disebabkan serik berdepan sikap tidak bertanggungjawab pihak terbabit.
“Esoknya juga kita terus keluar dari trek tu walaupun sepatutnya kita tinggal lagi satu malam.
“Itu juga punca saya tak akan ke Gunung Tahan walau apa yang orang nak cakap. Pengalaman masing-masing,” ujarnya.
Menurut Azhan lagi kedua-dua pihak sama ada pemandu arah mahupun pendaki perlu bertolak ansur bagi melancarkan pendakian.
Tambahnya, apabila masing-masing saling bertanggungjawab, risiko seperti insiden kematian seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan.
“Soal kalau pendaki lambat terlebih masa nak (kenakan) caj tambahan ke boleh sahaja runding.
“Tapi soal tanggungjawab keselamatan diutamakan dulu, yang dibayar ada tanggungjawab, yang membayar boleh sahaja bekerjasama .
“Harap ada banyak yang boleh kita belajar dan perbaiki dari tragedi ini. Al fatihah buat arwah,” katanya.
Azhan sebelum ini pernah menawan Gunung Kinabalu sebanyak empat kali, selain terlibat dalam ekspedisi mendaki Gunung Island Peak di Nepal bagi tujuan amal.
Kelmarin, negara dikejutkan dengan pemergian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang di Tanjung Malim, Perak
Allahyarham ditemukan berseorangan dalam posisi seakan-akan tidur mengiring serta keadaan hidungnya mengeluarkan sedikit darah.
Mustaqqeem dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang ketika mendaki bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, di Perak. – HIBGLAM