Penerbit filem Indonesia terpikat vokal unik Ara Johari, Tengku Ameera

MEMILIKI vokal yang unik menjadi sebab utama penerbit filem iaitu Faizal Lubis memilih penyanyi Ara Johari dan pendatang baharu, Tengku Ameera Asya untuk menyanyikan salah satu lagu tema filem muzikal Indonesia berjudul Siapa Dia.

Faizal yang juga komposer kepada kesemua 16 lagu dalam naskhah tersebut berkata, pemilihan Ara dan Tengku Ameera adalah perkara yang tepat selain melihat usaha serta kesungguhan dua penyanyi tersebut dalam memberikan hasil terbaik.

“Ara memiliki karakter vokal yang unik dan tersendiri. Saya mula tertarik pada keunikan suaranya selepas mendengar lagu Menjaga Jodoh Orang Lain.

“Saya yakin dia memerlukan sebuah lagu yang benar-benar sesuai dengan identitinya, maka saya ciptakan lagu Cinta Terhebat istimewa buatnya,” katanya selepas majlis tayangan perdana filem Siapa Dia di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, proses rakaman bersama Ara di Jakarta, Indonesia berjalan dengan lancar.

“Selepas berbincang, Ara terus berangkat ke Jakarta keesokan harinya dan merakamkan lagu berkenaan di studio kami.

“Saya juga dimaklumkan beliau merupakan antara penyanyi popular di Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Faizal berkapa pemilihan Tengku Ameera yang juga kerabat diraja Pahang itu diperkenalkan oleh komposer, Ade Govinda.

Tengku Ameera juga disifatkan memiliki bakat besar yang boleh diketengahkan sebagai penyanyi.

“Kisah Ameera menarik kerana dalam filem ini terdapat satu adegan yang memerlukan suara seorang perempuan untuk meluahkan rasa cinta dalam diam.

“Sebelum ini, lagu tersebut dinyanyikan oleh penyanyi Indonesia, Ari Lasso tetapi saya rasa lebih sesuai sekiranya dibawa dalam perspektif seorang wanita.

“Selepas mendengar vokal Ameera beberapa kali, dia mampu memberi nafas baharu dan ternyata berjaya membawa versi segar sekaligus menghidupkan mood filem ini,” katanya lagi.

Berkongsi tentang cabaran pemilihan lagu untuk dimuatkan dalam Siapa Dia, Faizal berkata, proses tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya mencipta 35 buah lagu, namun hanya 16 dipilih untuk dimuatkan dalam filem ini. Proses menyesuaikan muzik dengan pelbagai era dalam jalan cerita filem ini sememangnya mencabar.

“Filem ini berlatarkan pelbagai zaman, jadi muzik juga perlu mengikut suasana era yang digambarkan. Kalau terlalu banyak lagu, boleh ‘botak’ kepala dibuatnya,” katanya berseloroh.

Filem muzikal Siapa Dia terbitan Fabis Entertainment mengetengahkan konsep gabungan sejarah, budaya, dan muzik merentasi pelbagai zaman serta memaparkan konsep muzikal oleh pelakon utama.

Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Nicholas Saputra, Amanda Rawles, Ariel Tatum, Happy Salma, Morgan Odey dan ramai lagi, Siapa Dia bakal menemui penonton Malaysia bermula 16 Oktober lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok