PENYANYI dan usahawan Nubhan menangkis dakwaan wujud orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi liar mahupun tuduhan yang boleh mencetuskan salah faham.
“Itu tidak benar sama sekali. Saya faham banyak spekulasi dan berita penceraian saya ini mengejutkan ramai pihak.
Orang boleh fikir macam-macam, cuma saya mohon semua hormati proses mahkamah yang sedang berjalan.
“Saya juga mengharapkan yang terbaik buat diri saya serta pihak sana (isteri),” katanya ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor, hari ini.
Nubhan juga memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai punca perpisahan memandangkan kes berkenaan masih dalam proses perbicaraan.
Tiada siapa pun yang mahukan (cerai) perkara seperti ini berlaku. Jadi saya tak boleh komen lebih kerana isu ini masih dibicarakan di mahkamah.
“Saya reda dengan apa yang sudah berlaku. (Cuma) Banyak hati yang perlu dijaga, jadi biarlah mahkamah yang tentukan,” ujarnya yang diiringi peguam Mohd. Redzuan Ramli.
Pada prosiding itu, Hakim Syarie Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan.
Dalam prosiding tersebut, Mohd Redzuan Ramli mewakili Nubhan manakala pihak defendan, Afifah diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sebelum ini, Akberdin memaklumkan Nubhan pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada 2017, namun pasangan itu kembali rujuk dalam tempoh idah.
Menurutnya, suami anak guamnya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku dalam sebuah kereta pada 26 Ogos lalu.
Katanya lagi, perceraian kali ini berlaku secara baik tanpa sebarang konflik besar, sebaliknya berpunca daripada perselisihan faham dalam rumah tangga.
Bekas peserta Akademi Fantasia musim enam (AF6) itu turut mengakui tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya. – HIBGLAM