PELAKON dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana bersyukur kerana diberi kekuatan untuk menguruskan proses penanaman sebahagian kaki ibunya, Sawiyah Abdullah yang dipotong akibat komplikasi diabetes kronik.
Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, turut bersyukur berpeluang mempelajari ilmu baharu berkaitan cara mengurus dan mengebumikan sebahagian anggota badan.
“Hari yang panjang tapi Allah mudahkan. Kembali sihat duhai ibu.
Ibuku wanita besi yang hebat maka ujiannya luar biasa. Alhamdulillah, Allah takdirkan yang terbaik dengan dimudahkan urusan mama.
“Hikmah demi hikmah juga pasti menyusul. Rezeki hari ini dapat belajar dan turut bersama membersihkan serta mengkafankan bahagian kaki ibuku bersama Ustazah Aina, ilmu baru,” katanya dalam Tiktok.
Ardell juga memaklumkan urusan menanam kaki ibunya berjalan dengan lancar.
“Wahai kaki ibuku yang banyak berjasa, terima kasih.
Selesai urusan kaki ini di dunia dan telah pun dikembalikan kepada tanah,” jelasnya.
Isteri kepada pelakon Nadzmi Adhwa itu turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu, termasuk pendakwah PU Rahmat yang hadir bersama dalam urusan tersebut.
“Terima kasih juga PU Rahmat sebab bantu saya dan datang sama untuk urusan ini dari forensik ke masjid bagi bersihkan dan kafan sehingga urusan ditanam.
Buat pasukan pengurusan dan sukarelawan Tanah Perkuburan Islam (Baru) Kampung Sungai Kantan, terima kasih sebab sudi bantu saya uruskan kaki ibu saya, galikan tanah untuk tanam kaki ibu saya.
“Pihak Masjid juga, Allah sahaja balas semua jasa dan kebaikan kalian bantu urusan hari ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Ardell masih mampu bertenang saat menerima berita tentang ibunya semasa menyertai misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Ibu kepada dua cahaya mata itu mengakui perkhabaran berat tersebut merupakan ujian buat dirinya namun menyifatkan tidak sebesar dugaan dilalui rakyat Palestin. – HIBGLAM