MAHKAMAH Rendah Syariah Sepang menetapkan 2 Disember depan bagi tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi Nubhan terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Hakim Tuan Muhamad Nazri Basrawi berkata, mahkamah meneliti kedua-dua isu dibangkitkan iaitu mengenai lafaz talak pertama pada 2017 dan rujuk yang tidak dilaporkan selain lokasi tempat tinggal Nubhan selaku plaintif.
Bagi isu pertama, mahkamah boleh untuk membenarkan kes pengesahan cerai untuk kedua-dua lafaz yang dilakukan (pada 2017 dan 26 Ogos 2025).
“Mahkamah juga meminta pihak plaintif memasukkan satu peruntukan baharu iaitu di bawah Seksyen 52 supaya ada merit untuk diteruskan.
Isu kedua, berkaitan bidang kuasa dan alamat plaintif. Berdasarkan surat permastautinan yang disahkan ketua kampung Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Nubhan tinggal di alamat tersebut.
“Mahkamah melihat lokasi kawasan tempat tinggal itu dan mahkamah ada bidang kuasa berdasarkan surat akuan itu,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Afifah Hidayah, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan memahami matlamat utama adalah memastikan proses perbicaraan lancar.
“Mahkamah memutuskan boleh mendengar permohonan cerai di luar mahkamah bagi kedua-dua lafaz serta rujuk sekali, tiada masalah.
Kita akur talak itu di tangan suami. Isunya ialah kenapa talak pertama tidak didaftarkan sebelum ini dan rujuk dilakukan selepas itu.
“Hakim menyatakan tidak mengapa, dua campur satu, rujuk juga boleh difailkan di sini. Turut dimasukkan Seksyen 52 berkenaan rujuk, jadi kita akan teruskan di sini,” ujarnya.
Berkenaan isu bidang kuasa mahkamah berdasarkan lokasi tempat tinggal Nubhan yang mendakwa kini di Cyberjaya, pihaknya hanya menyerahkan isu itu kepada kearifan mahkamah.
Mengenai isu bidang kuasa, anak guam saya terkejut kerana selama ini mereka tinggal di Seremban dengan alamat sama tetapi pihak sana tukar ke Cyberjaya kononnya dia sudah menetap di sana hampir dua tahun.
“Jadi hakim berpendapat dan membenarkan kes diteruskan di sini. Berdasarkan anak guam saya, rumah itu sebenarnya rumah sepupu plaintif, bukan atas nama Nubhan,” katanya.
Terdahulu, pemerhati dunia hiburan dikejutkan berita perceraian Nubhan yang melafazkan talak terhadap isterinya di dalam kereta pada 26 Ogos lalu. – HIBGLAM