‘Mak ajar saya jadi ibu, dia faham perasaan saya…’

PELAKON Uqasha Senrose menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang ibu penyayang yang bukan sahaja menjadi tulang belakang hidupnya, malah guru pertama dalam perjalanan bergelar ibu muda.

Ujar Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, banyak perkara dalam dunia keibubapaan yang dipelajarinya daripada ibunya, Rosmizah Mohd Noor, terutama ketika menguruskan puteri kesayangan, Hawra Uqaira.

“Saya berterima kasih terutama kepada mak saya yang ada masa saya mula-mula bergelar ibu.

Walaupun saya pergi ke kelas, tetap tak tahu cara betul untuk menyusukan anak. Mak saya yang ajar dan tunjuk semuanya.

“Itulah mak saya, guru sebenar yang mendidik anaknya menjadi ibu,” katanya dalam Tiktok.

Pelakon filem Bisikan Dosa itu turut meluahkan rasa berterima kasih terhadap adiknya, Nelydia Senrose yang sentiasa menjadi penyelamat setiap kali dirinya terikat dengan penggambaran.

“Anak saya hanya mahu dengan saya. Dia tak nak orang lain, kecuali mak dan Nelydia sebab muka dia pun seiras dengan saya.

Bila saya pergi shooting, Nelydia akan jadi orang pertama datang ke rumah, ambil Uqaira dan bawa keluar berjalan.

“Saya bersyukur sebab dikurniakan adik yang sangat sayangkan anak saya seperti anak sendiri,” ujarnya.

Uqasha mengakui hatinya sering luluh setiap kali terpaksa meninggalkan anak untuk keluar bekerja.

Saya tak nak keluar diam-diam. Saya nak dia tahu ‘Qaira, ibu keluar bekerja’. Walaupun dia akan peluk dan tak nak lepas, saya tetap beritahu.

“Kadang-kadang saya pun menangis sebelum keluar. Bila saya cerita kepada mak, dia faham perasaan saya sebagai ibu,” luahnya.

Sebelum ini, rumah tangga Uqasha dan suami, pelakon Kamal Adli menjadi perhatian netizen selepas mereka dilihat tidak lagi saling mengikuti dalam Instagram.

Keadaan bertambah hangat apabila Uqasha memuat naik hantaran berbentuk luahan hati yang dipercayai menggambarkan kekecewaan terhadap seseorang disayangi.

Terdahulu, pasangan popular itu bernikah pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia setahun lima bulan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok