‘Drama gengster sebagai peringatan, bukan menggalakkan’

PELAKON Zahiril Adzim menegaskan dunia seni tidak wajar dijadikan kambing hitam atas keruntuhan moral atau jenayah yang berlaku dalam masyarakat, khususnya membabitkan remaja masa kini.

Ujar Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, menyalahkan industri hiburan setiap kali timbul isu sosial sudah berlarutan sejak dahulu lagi, seolah-olah drama menjadi punca utama anak muda hilang arah.

“Isu ini bukan baharu. Sejak zaman saya mula berlakon, setiap kali keluar drama bertemakan juvana atau sosial, orang akan cari ‘outlet’ untuk menyalahkan.

Sebenarnya, ada beza antara menginspirasi dan mendedahkan. Pada kami, penggiat drama bukan mencetus tapi mendedahkan apa yang berlaku dalam masyarakat,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon filem Martabat: Misi Berdarah itu, fungsi drama tidak hanya hiburan semata-mata tetapi menjadi cermin yang memantulkan realiti sebenar kehidupan.

Drama berfungsi sebagai cermin kepada masyarakat. Apa yang berlaku di luar sana, kami bawa ke layar supaya orang boleh berfikir. Kadang-kadang, ada yang tak tahu pun perkara begini wujud.

“Bila tonton, barulah sedar, ‘Oh, rupanya memang ada yang jadi macam ni’. Jadi, drama bukan menggalakkan, tapi membuka mata dan memberi pengajaran,” ujarnya pada sesi temu bual drama Mutiara Dalam Debuan Kabus, malam tadi.

Paling penting katanya, masyarakat harus berhenti menyalahkan penggiat seni seolah-olah setiap karya negatif mampu mencorakkan perilaku manusia.

Kalau penonton terikut-ikut dengan apa yang ditayangkan, maknanya silap itu pada kita, mungkin kurang latihan dan didikan dalam memahami fungsi sesebuah karya.

“Drama bukan dokumentari semata-mata, fungsinya luas. Kita boleh hasilkan kisah cinta, kisah gengster, kisah keluarga semuanya untuk mengingatkan, bukan merosakkan,” jelasnya.

Tegas Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin ke-23 itu lagi, ramai gemar menuding jari terhadap industri seni apabila berlaku tragedi sosial, sedangkan masalah tersebut berpunca daripada kegagalan kawalan sosial dan moral dalam masyarakat sendiri.

“Mungkin sebab mereka terkesan dengan kes yang berlaku, lalu mencari outlet untuk menyalahkan supaya hati rasa lega. Jadi, senanglah nak cakap, ‘ini salah drama’.

Tapi kami tahu fungsi sebenar kami dalam industri. Kami bukan pencetus rosak moral, kami hanya mendedahkan apa yang sudah pun berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, isu sosial membabitkan pelajar sekolah semakin membimbangkan apabila kes jenayah dalam kalangan remaja kian meningkat.

Antara yang mengejutkan termasuk kes pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam pelajar lelaki berumur 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, baru-baru ini

Selain itu, kes membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun yang menjual tubuh dalam aplikasi Whatsapp. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok