Hal tak masuk akal, tapi itulah hakikatnya – Siti Nurhaliza

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil mempertahankan anak saudaranya iaitu Amad Dayyan yang mendapat tempat keenam di Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) semalam.

Amad yang disebut-sebut sebagai calon juara sebelum ini tidak dapat membuat persembahan dengan baik selepas mengalami kesukaran untuk menyanyi dek bergelut dengan kesakitan.

Menurut Siti, apa yang berlaku kepada Amad adalah takdir. Namun dia menyangkal semua spekulasi negatif netizen terhadap Amad.

Siti juga berkongsi video sesi latihan Amad bersama Nadeera dalam akaun Instagram.

“Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat dan fit untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari persembahan Grand Finale.

“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang berlaku, bukan faktor kesihatan, kesan dari komen-komen atau penat tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan kita. Ada hal-hal luar dugaan, hal-hal tak masuk di akal tetapi itulah hakikatnya.

“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku. Untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu,” tulisnya.

Kongsi penyanyi nombor satu negara itu lagi, adik Amad iaitu Aisy turut terkena tempias dengan apa yang berlaku semalam.

“Begitulah, setiap kita ada cabaran, ini kan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas. Malah malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tetapi adik Amad, Aisy juga terkena tempiasnya.

“Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” tulisnya.

Terdahulu, semalam Amad tiba-tiba rebah sebelum membuat persembahan di konsert Grand Finale TTMM. Dia kemudian dibawa ke belakang pentas sebelum muncul semula untuk membuat persembahan.

Selepas bergelut membuat persembahan secara solo dan duet, Amad akhirnya pengsan dan dibawa keluar dari pentas.

Amad dan ibunya Siti Saerah dinobatkan sebagai pemenang tempat keenam pada akhir rancangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok